BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya dah buat maksiat bersama teman lelaki saya, dan ibu + kakak2 saya banyak kali salahkan saya bala timpa mereka kerana saya telah bermaksiat. Saya memang nak bertaubat dan kembali bersolat, saya dan teman lelaki saya pun merancang nak dirikan rumah tangga secepat yang mungkin tetapi saya tak nak niat saya bertaubat tu salah, keluarga saya tak faham perkara ni dan masih memaksa saya untuk bertaubat supaya bala tu berhenti. Mereka berkata saya punca hidup mereka sial, kewangan merosot, hari2 ada bala berlaku. Bisnes mereka down pun sampai terpaksa tutup, katanya disebabkan saya dah buat maksiat sampaikan kakak saya mimpi arwah ayah saya datang dekat dia merayu menangis2 untuk tolong selamatkan dia sebab saya dah buat maksiat. Persoalan saya,

1. Adakah betul kalau saya bertaubat dan solat, hidup mereka akan kembali normal dan tidak sial?

2. Kakak2 saya tak solat, hidup mereka malang, duit tak ada, adakah ini semua angkara saya sebab bermaksiat? Kenapa kakak2 saya tak solat dan minta kepada Tuhan untuk permudahkan urusan mereka, kenapa perlu salahkan saya 100%, adakah benda ini betul? 

3. Abang saya, anak sulung dari 4 adik-beradik, saya yang bongsu dah bagi restu dan setuju untuk jadi wali saya, sebelum ni ibu saya pun setuju untuk saya dan teman lelaki saya berkahwin, tetapi disebabkan kakak2 saya, ibu saya ubah fikiran dan meminta saya dan teman lelaki untuk buat joint account kumpul duit cukup 200k, habiskan belajar, buat majlis merisik dan tunang, dan pastikan ada resepsi kedua-dua belah pihak baru ibu saya bagi kahwin. Kenapa ibu dan kakak2 saya perlu sulitkan keadaan sedangkan perkahwinan itu satu perkara yang baik dan bukankah lebih baik saya dan teman lelaki saya bertanggungjawab atas kesilapan kami? Teman lelaki saya setuju untuk turutkan permintaan ibu saya.

4. Ibu saya ugut saya dan cakap kalau saya kahwin dekat Siam, dia akan haramkan susu badan dia. 

We want to get married and build our lives together, covering all the costs ourselves. We're planning a small, private, and intimate wedding with just family and close friends. However, my family wants a big ceremony since I'm the youngest child and first daughter to get married. Why is this so difficult? Please help me. Please don't report me to any related authorities. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1.  Diriwayatkan daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:

 كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya : Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)

Sesiapa yang bertaubat kepada Allah Taala dengan taubat nasuha yakni sebenar-benar taubat, maka Allah SWT akan menganugerahkan kepada mereka beberapa kelebihan antaranya :

a) Memperolehi kasih Allah, ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 222 :

إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Ertinya: “Sesungguhnya Allah kasih orang-orang yang bertaubat dan Allah kasih orang-orang yang suka membersihkan diri.”

b) Diganti keburukan dengan kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al Furqan ayat 68-70 :

وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَاماً يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَاناً إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً

Yang maksudnya: “Dan barang siapa yang melakukan dosa-dosa itu nescaya dia akan menemui pembalasannya. Akan dilipatgandakan azab mereka pada hari kiamat dan mereka akan kekal di dalamnya dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal solih maka mereka itulah orang-orang yang digantikan oleh Allah keburukan-keburukan mereka menjadi kebaikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

Berdasarkan dua ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT akan mengurniakan kelebihan dan kebaikan kepada hambanya yang bertaubat, dan apakah kelebihan dan anugerah itu bergantung kepada rahmat dan kasih sayang Allah untuk memberinya samada kepada hambanya yang bertaubat semata-mata atau kepada sesiapa yang lain yang Allah kehendaki.

Yang penting bagi kita adalah bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT yang maha berkuasa dan maha kasih kepada hambaNya.

2. Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 107 :

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Ayat ini menjelaskan bahawa segala perkara samada yang berbentuk kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Islam melarang umatnya mempercayai bahawa sesuatu musibah itu adalah datang daripada makhluk sedangkan makhluk tidak sedikitpun mempunyai kuasa yang boleh mendatangkan manfaat mahupun mudarat. Ia juga boleh merosakkan sifat tawakal seseorang kepada Allah SWT. Sebaliknya Islam mengajar kita untuk sentiasa optimis dan bersangka baik dengan segala apa yang berlaku.

Walaubagaimanapun, sudah pasti kalau seseorang itu melanggar perintah Allah SWT, maka dia berdosa dan pasti Allah SWT akan membalas keengkaran dan dosanya itu di akhirat kelak atau mungkin di dunia ini dengan diuji dengan ujian yang layak baginya untuk memberi keinsafan dan kesedaran agar cepat sedar dan kembali kepada Allah SWT.

3. Dalam perkara ini, saudari berbincanglah dengan cara yang baik, boleh gunakan khidmat pihak ketiga, mungkin di kalangan saudara mara yang ibu saudari hormati untuk menjadi orang tengah bagi mendapatkan solusi yang terbaik dalam memutuskan cadangan untuk saudari melaksanakan urusan pernikahan dengan pasangan saudari tersebut. Kerana dalam Islam, sesuatu pernikahan yang dirancang itu, kalau cukup syarat, ada kemampuan dan kalau tidak berkahwin pasti pasangan itu akan melakukan perbuatan zina maka dalam situasi seumpama ini wajib hukumnya pasangan itu berkahwin.

4. Ugutan seumpama ini hendaklah melihat kepada apa sebab atau alasan ugutan itu diungkapkan, sekiranya ugutan itu atas sebab yang wajar pada syara maka ia adalah sesuatu yang patut dipatuhi namun sebaliknya kalau ugutan itu atas sebab yang tidak wajar pada syara maka ia boleh diabaikan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 104

message user image