Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya mempunyai seorang kawan yang telah meminta maaf atas kesalahan zahirnya, dan saya telah memaafkannya dengan baik demi menjaga hubungan kami. Namun, selepas dimaafkan, dia terus menjauhkan diri dan membuang saya dari hidupnya. Walaupun begitu, selepas dia pergi tanpa meninggalkan jejak, banyak cerita telah sampai bahawa dia telah berkata buruk di belakang saya. Kebanyakannya tidak benar seperti andaian dan penilaian negatif. Saya mudah memaafkan orang. Tetapi, untuk kali ini amat sukar untuk saya reda memaafkan seseorang kerana hati saya terluka. Saya juga mengalami kemurungan lebih kurang 5 bulan. Soalan saya, adakah berdosa sekiranya saya masih tidak reda untuk memaafkannya dan bolehkah saya berbuat kebaikan seperti bersedekah atas namanya sebagai ganti sekiranya ada dosa yang dia belum maafkan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, Islam menggalakkan agar memaafkan kesalahan orang lain. Tetapi seseorang diharuskan untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya. Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita. Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam, bahkan orang yang pemaaf termasuk daripada kalangan yang dijanjikan syurga Allah SWT kelak seperti menurut firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 133-134:
Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Menurut Imam al-Qurtubi, perbuatan memaafkan orang lain adalah kebaikan yang paling mulia dan terpuji. Sebagai contoh, manusia diharuskan untuk memberi kemaafan atau menuntut kembali haknya yang diambil, ataupun memberi kemaafan kepada orang yang menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukannya. Berdasarkan tafsir di atas, seseorang manusia mempunyai hak untuk menuntut kembali apa sahaja perkara buruk yang dilakukan terhadapnya seperti kecurian, kehilangan harta benda, ejekan, dan lain-lain. Namun, Allah SWT memuji manusia yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain walaupun dia sebenarnya boleh sahaja tidak mahu memaafkan.
Sebagai contoh, Allah SWT tidak menyukai perbuatan mahupun perkataan buruk serta sifat marah yang ditujukan kepada orang lain. Namun berbeza isunya jika perbuatan dan perkataan tersebut ditujukan kepada orang yang menzalimi manusia lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat148:
Maksudnya: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Dosa kepada seseorang adalah dengan cara memohon ampun dan kemaafan daripadanya bukannya dengan cara yang lain seperti bersedekah. Adapaun bersedekah atas nama kawan itu dengan harapan mudah-mudahan dengan perbuatan baik kita itu Allah SWT melembutkan hati seseorang itu untuk memaafkan kesalahan yang telah kita lakukan itu adalah harus kerana ianya termasuk dalam berbuat baik kepada manusia, firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 7:
Maksudnya: Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
Sekian, terima kasih