BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya mahu bertanya apakah dibolehkan saya solat duduk di dalam kereta atas sebab berada di luar kebiasaan kawasan (contohnya pergi menghadiri kelas) seorang diri (perempuan) atas faktor keselamatan kerana risau berjalan berseorangan dan solat berseorangan kerana tempat solat yang berdekatan sunyi kerana berada dalam kawasan majoriti orang bukan islam. Saya sudah mengambil air sembahyang dan kereta itu sudah parking mengikut arah kiblat. Atau adakah cara lain untuk saya solat mengikut waktu? 

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, solat di dalam kereta hari ini,  kita boleh samakan dengan hukum berkenaan solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta ia juga cukup mempunyai kesamaan yang jelas antara keduanya. Hal ini berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW bahawa Baginda melaksanakan solat ketika sedang berada di atas haiwan tunggangan seperti sebuah hadis riwayat ‘Amir bin Rabi’ah beliau berkata:

 رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksudnya: Aku pernah melihat Rasulullah S.A.W dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu. (Riwayat al-Bukhari)

Di samping itu, seseorang yang menaiki kereta itu tidak menjadi kesukaran buat dirinya untuk berhenti dan keluar menunaikan solat di luar kereta yang dinaikinya itu. Justeru, berkenaan hukum solat di dalam kereta yang terpakai ke atasnya hukum solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta adalah membawa erti bahawa dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat sunat sahaja jika dia berada di dalam kereta. Oleh itu, tidak dibenarkan solat fardu di dalam kereta jika tiada sebarang keuzuran yang memudaratkan diri secara yakin.

Justeru, berdasarkan situasi yang puan alami ianya hanya boleh dikira sebagai keuzuran dalam syarak jika tempat tersebut diyakini terdapat bahaya sekitarnya yang boleh memudaratkan diri. Mengambil kira suasana di negara Malaysia yang begitu kondusif dalam menyediakan kemudahan tempat solat di kebanyakan tempat yang diyakini selamat, maka dinasihatkan agar puan solat di tempat yang lebih selamat samaada di surau-surau yang terdapat di kawasan sekitar, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, dan selainnya untuk didirikan solat secara sempurna mengikut waktu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 62

message user image