Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan apakah hukum menggunakan duit pinjaman bank sebagai mas kahwin?
Situasinya adalah seperti ini. Si fulan telahpun menyimpan sejumlah 7k bagi tujuan untuk mas kahwinnya nnti. Namun duit simpanan tersebut terpaksa digunakan bagi membeli barangan keperluan lain. Akhirnya sehingga tarikh perkahwinan, si fulan terpaksa meminjam kepada pihak bank bagi menggantikan duit simpanan beliau. Adakah duit tersebut dianggap sebagai pertukaran bagi untuk menggantikan duit mas kahwin yang telah disimpan pada awalnya?
Mohon pencerahan mufti. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Dalam persoalan yang dinyatakan ada beberapa aspek yang perlu difahami sebelum menentukan status hukumnya, iaitu konsep mas kahwin, menggunakan duit yang dipinjam untuk dijadikan mas kahwin, serta beberapa aspek kewangan yang berkaitan dengan pinjaman bank.
Secara umumnya mas kahwin atau mahar adalah pemberian wajib dari suami kepada isteri semasa akad nikah sebagai tanda penghargaan dan bukti kesungguhan suami. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 4:
Maksudnya: Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.
Mas kahwin tidak disyaratkan dalam bentuk wang tunai, apa yang penting adalah ia diserahkan dengan penuh kerelaan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Nilai mahar juga bergantung kepada kemampuan pihak suami dan persetujuan bersama.
Secara asasnya penggunaan duit pinjaman bank yang diperoleh daripada bank merupakan wang yang boleh digunakan bagi memenuhi keperluan hidup termasuk mas kahwin, selagi mana pinjaman tersebut adalah pembiayaan patuh syarak yang bukan pinjaman konvensional, Selain daripada itu, pastikan ianya bermampuan untuk membayar semual pinjaman tersebut.
Manakala bagi isu menggunakan duit mas kahwin yang disimpan untuk belanja kahwin boleh datang dari mana-mana sumber yang halal baik secara simpanan atau dari pinjaman yang patuh syariah, memandangkan duit yang disimpan untuk mas kahwin telah habis dibelanjakan untuk keperluan lain maka duit yang diperolehi melalui pembiayaan dari bank boleh digunakan untuk mas kahwin.
Sekian, terima kasih.