Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz...
Saya ada sedikit kemusykilan berkenaan harta arwah ayah saya..semasa arwah ayah masih hidup saya pernah meminjam duit dari dia..sebenarnya lebih kepada mengelakkn duit tersebut habis dibelanjakan oleh ibu tiri & anak-anak tirinya (persetujuan dari adik beradik saya )..saya pernah hendak membayar tapi arwah ayah mengatakan biar jer dulu.kalau hendak guna ambil jer la dulu.
Beberapa bulan sebelum arwah ayah meninggal dia pernah menyuruh saya berkali-kali menggunakan duit tersebut untuk membuat rumah saya yang masih dalam proses pembinaan..tetapi pada masa itu saya mengatakan biar la dulu & nanti kalau duit tidak mencukupi baru saya mengambil atau menggunakan duit tersebut.
Sekarang arwah saya telah meninggal 3 bulan lepas...persoalan saya sekarang, bolehkah saya menggunakan duit tersebut atau sudah menjadi harta pusaka?
Sebab duit tersebut memang dari awal lagi ada dengan saya & perlu ke saya ganti jika saya telah menggunakannya ?
Saya betul-betul berharap ustaz dapat membantu saya.
Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, sekiranya pihak puan menggunakan wang ayah untuk pembinaan rumah puan dan terdapat baki, maka baki tersebut adalah harta pusaka. Adapun sekiranya puan tidak menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembinaan rumah maka wang tersebut adalah harta pusaka dan perlu diagihkan kepada waris yang berhak.
Oleh yang demikian, segala kemusykilan berkaitan harta pusaka, pihak puan bolehlah merujuk ke Bahagian Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor di talian 03-5514 3773.
Sekian, terima kasih.