BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanyakan tentang istihadah. Saya ada mengambil ubat hormon untuk mengawal kitaran period dan menahan darah keluar untuk mengerjakan umrah. Sepanjang pengambilan ubat hormon ni, ada lendiran berwarna coklat / kuning keluar on off. Lendiran yang keluar spotting2 sahaja

1) adakah lendiran ini dikira sebagai istihadah? saya dapat membezakan dengan jelas berdasarkan kriteria darah yang ini bukan lah darah haid. 

2) saya ambil maklum dalam tempoh ini, wuduk adalah sah untuk sekali amalan fardhu sahaja dan beberapa amalan sunat. Jika pada masa saya mengambil wuduk, pantyliner yang dipakai masih bersih perlu ke saya mengambil wuduk semula untuk amalan fardhu yang seterusnya? adakah tempoh bersih yang boleh dijadikan panduan untuk menetapkan masa gap untuk situasi saya?

3) boleh kah dalam tempoh ini saya melakukan solat jamak & qasar sekiranya saya berada dalam permusafiran. Jika boleh, bagaimana seharusnya ia dilakukan?

4) bagaimana pula untuk saya adakan hubungan suami isteri?

Diharap mendapat penjelasan untuk persoalan saya. Terima Kasih

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1. Imam al-Nawawi menyatakan:

وَالْمُسْتَحَاضَةُ دَمُهَا خَارِجٌ عَنْ دَمِ الْحَيْضِ، فَلَا يَمْنَعُ الصَّلَاةَ، وَلَا الصَّوْمَ، وَلَا الْوَطْءَ

Maksudnya: Darah yang keluar di luar tempoh maksimum haid adalah istihadhah. Ia tidak menghalang seseorang daripada solat, puasa, dan hubungan suami isteri. (Rujuk kitab al-Majmu', Jil. 2, Ms. 372).

2. Wanita dalam istihadhah perlu mengambil wuduk bagi setiap waktu solat. Ini kerana darah istihadhah dikira najis. Wuduk ini hanya sah untuk satu waktu solat dan ibadah sunat dalam waktu tersebut. Keadaan ini merujuk kepada dalil:

وَيَجِبُ عَلَى الْمُسْتَحَاضَةِ أَنْ تَتَوَضَّأَ لِكُلِّ صَلَاةٍ فَرْضٍ، وَلَوْ كَانَ الدَّمُ يَسِيلُ دَائِمًا

Maksudnya: Bersuci wajib dilakukan oleh wanita istihadhah untuk setiap solat walaupun darahnya terus mengalir. (Rujuk kitab Fathul Mu’in, Jil. 1, Ms. 57).

3. Solat jamak dan qasar diharuskan kepada musafir termasuklah wanita yang berada dalam tempoh istihadhah. Ibn Qudamah menjelaskan: 

وَالْمُسَافِرُ وَذُو الْعُذْرِ كَالْمُسْتَحَاضَةِ وَنَحْوِهَا يَجُوزُ لَهُمُ الْجَمْعُ وَالْقَصْرُ مَا دَامُوا مُتَّصِفِينَ بِذَلِكَ، شَرْطَ أَنْ تَتَوَفَّرَ فِيهِمُ الشُّرُوطُ

Maksudnya: Musafir yang mengalami istihadah atau uzur lain boleh melaksanakan jamak dan qasar selama mana mereka memenuhi syarat-syaratnya (iaitu syarat diharuskan jamak dan qasar). (Rujuk kitab al-Mughni, Jil. 2, Ms. 490).

Cara melakukan jamak dan qasar semasa berada dalam keadaan istihadhah adalah:

a) Jamak Taqdim (solat Zuhur & Asar di waktu Zuhur atau Maghrib & Isyak di waktu Maghrib): Dengan cara menyucikan diri daripada najis terlebih dahulu dan mengambil wuduk sekali kemudian terus melakukan kedua-dua solat tanpa halangan antara keduanya.

b) Jamak Takhir (solat Zuhur & Asar di waktu Asar atau Maghrib & Isyak di waktu Isyak): Dengan cara menyucikan diri daripada najis terlebih dahulu mengambil wuduk pada waktu Asar atau Isyak dan terus melakukan kedua-dua solat tanpa halangan antara keduanya.

4. Dalam tempoh istihadhah, hubungan suami isteri adalah dibenarkan kerana ia bukan darah haid. Imam al-Nawawi menjelaskan:

وَأَمَّا دَمُ الِاسْتِحَاضَةِ فَلَا يَكُونُ حَيْضًا، فَلَا مَنْعَ فِيهِ مِنَ الْوَطْءِ

Maksudnya: Darah istihadhah bukan haid, maka tiada larangan untuk bersetubuh. (Rujuk kitab al-Majmu', Jil. 2, Ms. 392).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 64

message user image