Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam , saya ingin tanya soalan tentang Halloween
1. ketika saya membeli baju terpakai, saya terbeli suatu baju yang coraknya cantik, ketika saya sampai di rumah baru saya perasan bahawa baju yang saya beli adalah baju Happy Halloween, apakah hukum jika saya menjualnya kembali di atas talian? dan adakah duit itu halal?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa Halloween sering dikaitkan dengan perayaan yang merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian. Mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia. Hukum umat Islam menyertai perayaan ini adalah haram. Rasulullah SAW telah melarang umat Islam daripada menyerupai orang kafir, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu. (Riwayat Abu Daud)
Justeru, berdasarkan hadis di atas umat Islam adalah dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan termasuklah pakaian yang khusus dikenali dengan unsur bukan Islam atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai. Oleh itu, pakaian yang telah dibeli tersebut boleh dijual semula supaya tidak berlaku pembaziran dengan syarat berusaha untuk dijual kepada golongan yang bukan Islam.
Sekian, terima kasih.