Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya dari syarikat konsultansi kejuruteraan yang menguruskan sisa kumbahan manusia (sewage), soalan saya, adakah boleh sekiranya daripada sisa itu dibuang ke pusat pembuangan najis (landfill), kita menggunakan sisa itu sebagai baja untuk tumbuhan yang menghasilkan sayur-sayuran dan buah-buahan? Adakah sayur dan buah itu halal dimakan?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, baja yang diperolehi daripada sisa kumbahan manusia, sisa makanan, sisa ladang seperti tanaman, haiwan sama ada halal atau haram atau bahan sampingan kilang industri berasaskan pertanian yang telah reput atau diproses adalah dibolehkan.
Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) 1981, bahawa hukum menggunakan baja yang diperbuat daripada tahi babi, iaitu najis mughallazah adalah harus serta makruh. Oleh itu penggunaannya adalah sama seperti penggunaan baja daripada kumbahan manusia serta najis haiwan yang halal seperti kambing, lembu, ayam.
Malah, hasil tanaman yang terhasil di darat melalui kaedah tanaman yang menggunakan baja najis haiwan di darat ini juga tidak dianggap sebagai tumbuhan al-jallalah (iaitu tumbuhan yang disirami atau yang hidupnya serta tumbesarannya bergantung dengan baja daripada najis dan kotoran). Hal ini kerana tumbuhan tersebut tidak sepenuhnya mengharapkan nutrisi daripada baja yang digunakan ia juga turut memerlukan nutrisi daripada mahatahari dan air. Baja yang digunakan hanya bertindak sebagai agen pengurai sahaja dan bertindak kepada nutrient tanah serta berperanan sebagai agen luaran untuk menyuburkan tanah sahaja tanpa mengubah rasa atau bau tumbuhan tersebut. Tumbesaran ini telah melalui proses istihalah sahihah secara semulajadi.
Justeru, baja yang diperbuat daripada sisa kumbahan manusia harus digunakan sama seperti baja yang diperbuat daripada najis haiwan yang haram dimakan. Penggunaan baja seperti ini amat digalakkan kerana ia bukan sahaja meningkatkan kualiti tumbuhan malahan tidak mendatangkan kemudaratan kepada tanaman, alam sekitar, mahupun manusia itu sendiri. Manakala sayur-sayuran atau buah-buahan yang ditanam menggunakan baja tersebut adalah halal dimakan selagi mana baja itu tidak memberi kesan negatif kepada rasa, bau, atau warna hasil tanaman.
Sekian, terima kasih.