BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya. Apakah hukum saya membuat pinjaman pelajar, dimana saya merasakan saya sebenarnya tidak layak untuk memohon pinjaman tersebut. Saya telah meniru untuk beberapa subjek dan salah satu subjek yang wajib untuk lulus bagi memohon pinjaman tersebut, saya rasa saya mungkin gagal sekiranya tidak meniru. Dahulu, perkara ini tidak terlalu mengganggu saya namun dalam beberapa bulan lepas, saya baru teringat yang saya sebenarnya telah meniru lebih dari yang saya fikirkan selama ini. Duit itu telah saya gunakan untuk bayar yuran semester lepas, membeli alat tulis untuk menyiapkan tugasan dann menjawabb ujian, membeli buku dan juga internet yang digunakan untuk saya menyiapkan tugasan yang diberikan. Adakah hukumnya haram selama ini saya menggunakan wang tersebut? Saya sedar akan kesilapan saya dan saya tidak lagi mahu menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembelajaran, dan saya akan segera membayar wang pinjaman tersebut selepas saya tamat belajar. Adakah perkara ini boleh mempengaruhi status sijil saya nanti? Saya agak risau perbuatan saya ini membuatkan sijil saya kemudiannya haram untuk saya guna kerana wang itu telah saya gunakan untuk tujuan menyiapkan tugasan berterusan dan juga menjawab soalan peperiksaan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Perbuatan meniru dalam peperiksaan adalah perbuatan pecah amanah. Seorang pelajar atau mahasiswa diamanahkan supaya tidak menipu atau meniru ketika peperiksaan dan sebagainya. Pecah amanah hukumnya adalah haram. Hal ini seperti yang pernah ditegaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

آيةُ المُنافِقِ ثلاثٌ: إذا حدَّثَ كذَبَ، وإذا وعَدَ أخلَفَ، وإذا ائْتُمِنَ خان

Maksudnya: Tanda-tanda orang munafik ada tiga. Jika dia berkata dia berdusta. Jika dia berjanji dia mungkiri. Jika dia diberikan amanah dia khianati. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka, perbuatan meniru ketika peperiksaan dan yang berkait dengan perbuatan menipu sebegini adalah berdosa kerana mengkhianati amanah sebagai seorang pelajar. Walau bagaimanapun, tiada masalah meneruskan pinjaman dan pengajian pada peringkat seterusnya kerana pengajian sebelum ini telah disahkan. Perbuatan sebelum ini tidak menjejaskan sijil diploma lepasan ijazah yang mahu diambil dan pinjaman tersebut. Akan tetapi, dinasihatkan supaya banyakkan beristighfar, bertaubat dan bersedekah supaya memperoleh keberkatan daripada pinjaman yang diterima. Berazamlah untuk tidak mengulangi lagi perbuatan seumpama ini bagi memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                               


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 97

message user image