Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Rumah saya selalu ada najis tahi cicak menyebabkan saya mempunyai was-was yang teruk dengan kesucian dan kebersihan rumah saya. Suatu hari, sewaktu saya sedang membasuh kaki di bilik mandi. Saya nampak terdapat beberapa tahi cicak pada lantai yang basah.
1. Adakah seluruh lantai bilik mandi tersebut menjadi bernajis?
2. Jika ya, saya telah berpijak pada lantai bilik mandi yang basah tersebut dan berjalan di dalam rumah. Adakah lantai rumah saya kini bernajis?
3. Adakah saya perlu membersihkan semua kawasan-kawasan yang telah saya pijak?
4. Saya mempunyai was-was yang teruk. Saya kerap mengulangi basuhan semasa berwudhuk kerana takut air tidak terkena pada keseluruhan anggota. Saya juga kerap mengulangi bacaan dalam solat kerana bimbang dengan sebutan yang salah dan saya juga mengalami kesukaran untuk menyebut beberapa huruf. Was-was ini semakin teruk apabila sekarang saya merasakan diri dan kawasan sekeliling saya bernajis dan tidak bersih. Saya takut najis-najis tersebut menyebabkan ibadah saya tidak sah. Saya cuba untuk mengabaikannya tetapi ia tetap mengganggu fikiran saya. Disebabkan perkara ini saya merasa stres dan tidak mahu bergaul dengan orang lain. Apakah yang harus saya lakukan?
Terima kasih.
Jawapan
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna, bau atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang warna, bau dan rasa.
Merujuk kepada persoalan puan, Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Oleh itu, berikut adalah hukum berdasarkan situasi yang dinyatakan di dalam soalan:
1) Seluruh lantai tidak bernajis.
2) Kaki tersebut tidak bernajis serta tidak menajiskan kawasan yang dipijak.
3) Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tidak bernajis sehingga dibuktikan jelas terdapat najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Jika sekadar terasa atau andaian, maka ianya kekal suci.
Berusahalah untuk menghilangkan atau menjauhkan diri daripada rasa was-was dengan perbanyakkan istighfar dan memohon bantuan kepada Allah SWT. Ini adalah kerana dikhuatiri akan terus dipermain-mainkan oleh syaitan sehingga menyusahkan kehidupan sekiranya tidak diatasi dengan sebaiknya.
Sekian, terima kasih.