Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt..
saya ingin bertanya pasal batu cincin atau batu loket atau gelang yang berbentuk pixiu..bolehkah simpan dalam rumah atau dipakai..sebab batu tersebut ialah batu asli auralite23 iaitu kristal 1.2juta tahun..cuma pembuat batu tersebut membuat corak pixiu..terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, segala bentuk perhiasaan diri adalah dibolehkan untuk memakainya dalam Islam selagi ianya mengikut batas-batas yang dibenarkan dalam syarak. Setelah diteliti bahawa batu asli auralite23 tersebut adalah sejenis permata yang mempunyai 23 unsur semulajadi di dalam sebuah batu. Justeru, ia boleh dijadikan sebagai perhiasan diri seperti menjadikannya batu cincin atau batu loket atau gelang kerana ianya bukan diperbuat dari najis atau benda-benda yang haram.
Selain itu, bentuk yang diukir perlulah sesuatu yang tidak menggambarkan perkara-perkara yang haram, atau mempromosikan sesuatu yang haram. Hasil carian yang dilakukan bentuk pixiu membawa maksud kekayaan atau membawa tuah bagi yang mempercayainya. Sebagai seorang muslim perkara kepercayaan sebegini perlu diambil berat kerana terdapat unsur kepercayaan terhadap sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada si pemakai selain dar Allah SWT. Justeru, adalah menjadi kesalahan dan berdosa sekiranya si pemakai memiliki iktikad (kepercayaan) bahawa batu asli auralite23 yang dibentuk dalam corak pixiu dapat memberikan manfaat, maka demi menjaga akidah Islam seeloknya dijauhkan. Ini kerana hanya Allah SWT yang berkuasa memberi manfaat dan menolak kemudaratan.
Sekian, terima kasih