Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, tuan. Saya ingin bertanya sekiranya terdapat bangkai serangga seperti nyamuk atau semut pada lantai atau pakaian atau mana-mana tempat perlukah dibuang sahaja bangkai tersebut atau saya perlu mengalirkan air juga untuk mensucikan kawasan tersebut memandangkan bangkau serangga termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan dalam air tetapi bukan pada pakaian? Saya seringkali membasuh lantai kerana takut najis akan merebak pada lantai jika saya tidak membasuhnya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan. Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya wajib dibersihkan dan disucikan. Oleh itu, bangkai serangga itu sendiri menurut pendapat yang sahih, adalah tetap najis kerana ia adalah bangkai. Merujuk kepada persoalan yang diajukan, serangga yang berdarah seperti nyamuk sekiranya ada darah, maka wajib dibuang najis darah tersebut dan basuh tempat yang terkena darah dengan air. Manakala jika serangga seperti semut yang tidak mempunyai darah, maka ianya dimaafkan dan cukup sekadar dibuang sahaja bangkai semut tersebut.
Sekian, terima kasih.