Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz, saya nak bertanya mengenai sertu. Ceritanya begini, saya ada membeli makanan secara online dan makanan tu dihantar ke rumah saya dan diletakkan atas tembok pagar kerana rumah tiada orang. Kawasan rumah saya ni banyak terdapat kera liar, jadinya makanan yg di atas tembok tu telah diselongkar oleh kera-kera liar tersebut dan sisa makanan bertaburan (ini diceritakan oleh jiran). Kemudian setelah saya pulang ke rumah saya dapati beberapa ekor anjing duduk di kawasan makanan yg bertaburan itu. Persoalannya perlukah saya sertu tempat/kawasan sisa makanan yg bertaburan itu?
Terima kasih ustaz
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka tempat tersebut kekal bersih dan suci. Tidak perlu disertu tempat atau kawasan sisa makanan yang bertaburan tersebut.
Sekian, terima kasih.