Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum... Saya nk tanya perkara yg berkaitan sertu
Kejadian berlaku semasa saya pindah rumah, semasa mengangkat tilam (tilam tidak dibalut dgn apa2), pekerja Lalamove telah meletakkan tilam saya di atas lantai luar rumah saya (di mana anjing sering duduk di situ). Adakah perlu saya menyertu atau sekadar lap menggunakan sabun dan air yang bersih?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan terdapatnya najis anijing pada kawasan terebut, maka tilam tersebut adalah kekal bersih dan suci dan tidak perlu disertu.
Sekian, terima kasih.