Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan.Suami saya dah 2 tahun sakit terlantar.Tapi masih boleh bangunkan badan,boleh bercakap,berbual seperti biasa.
Tapi baru-baru ni makcik kepada suami sakit dan merempat rumah sedara mara.Tapi sedara dah taknak jaga makcik.Makcik tidak mempunyai keluarga(suami,anak).Tapi makcik tu dulu rapat dengan suami.
Persoalan saya:
Jika suami ingin menjaga makcik,tapi saya berkeras tak mahu.Apa hukumnya ustaz? Ini kerana mempunyai beberapa sebab antaranya saya rasa tiada privasi disebabkan makcik suka menceritakan segala hal orang kepada orang lain.Walaupun dia uzur,perlukan orang untuk papah ke bilik air dan berkerusi roda tetapi mulutnya tetap sama macam dulu.Itu yang membuat sedara-sedara lain tak sanggup untuk menjaganya.Kedua,sy sibuk menguruskan suami yang sakit perlukan rawatan hospital seminggu berkali-kali disamping mempunyai anak 3 tahun dan 8 tahun untuk diuruskan.Disini sy rasa tiada keuoayaan kerana sibuk dan juga agak kepenatan sehingga rasa diri tidak cukup rehat/rehat yang tak normal.Sebab suami mengatakan sy wajib taat mengikut perintahnya.Dan makcik dia tu taraf lebih tinggi dari mak saya sendiri katanya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, benar seorang isteri perlu mentaati perintah suami selagi mana perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak. Adapun mengenai situasi yang dinyatakan, perbincangan perlu dibuat antara suami dan isteri dengan mengambil kira pelbagai sudut memandangkan suami juga tidak sihat dan tiada berkemampuan untuk menguruskan makcik yang juga uzur. Sekiranya isteri tidak berdaya untuk menguruskan dua orang sakit dan juga menguruskan rumahtangga dalam masa yang sama, maka dinasihatkan untuk berbincang sebaiknya dengan suami kerana jelas hanya isteri seorang sahaja yang perlu menguruskan semuanya dan dibimbangi boleh memberi risiko tidak baik kepada fizikal dan mental isteri. Walau bagaimanapun, sekiranya setelah berbincang dan dipersetujui untuk menjaga makcik tersebut, disarankan agar isteri bolehlah mendapatkan pertolongan daripada pihak yang dirasakan mampu membantu atau bertegas dalam membuat penggiliran bersama ahli keluarga yang lain. Pihak Majlis Agama Islam Selangor juga ada menyediakan perkhidmatan menjaga warga tua seperti mana rumah orang tua Bait al-Mawaddah, Jalan Kebun yang dikelolakan Bahagian Ar-Riqab, MAIS.