Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti,
Saya hendak bertanya tentang terkena asap dari pembakaran najis mughalazah.
Mengikut apa yang saya baca di internet, yang tertulis:
"Walau bagaimanapun menurut sebahagian besar ulama mazhab Syafi‘i termasuk Imam ar-Ramli Rahimahullah Ta‘ala, jika asap yang terbit daripada pembakaran benda najis itu sedikit walaupun najis mughalladzah adalah dimaafkan dengan syarat:
Tempat yang terkena asap tersebut tidak basah, sebagai contoh, pakaian yang terkena asap tersebut adalah pakaian yang tidak basah.
Bukan disebabkan perbuatannya, iaitu seseorang yang terkena asap yang sedikit itu bukan kerana perbuatannya sendiri."
Permasalahan saya adalah, saya terkena asap daripada pembakaran daging di sebuah kedai non-muslim, berkemungkinan besar daging babi kerana kedai itu ada menyajikan hidangan daging babi.
Pada masa itu cuaca panas dan saya berpeluh. Saya terkena asap hasil bakaran daging najis itu semasa saya melalui kedai tersebut.
Persoalannya, kerana saya sedang berpeluh (dikira keadaan basah), adakah saya perlu menyertu muka saya yang berpeluh itu? Tambahan pula asap itu terkena juga pada pakaian saya yang berkemungkinan basah juga kerana peluh.
Setahu saya, terkena asap hasil bakaran babi tidak perlu disertu anggota yang terkena kerana asap tiasa ciri fizikal. Akan tetapi jika saya terkena asap tersebut ketika berpeluh (dan pakaian juga berkemungkinan basah juga kerana peluh), adakah saya dan pakaian dikira sudah terkena najis?
Perkara itu juga sudah berlaku beberapa bulan yang lepas. Oleh itu saya juga sudah mandi dan menyentuh banyak barangan dalam keadaan basah. Tambahan pula, pakaian saya itu sudah dicuci di dalam mesin basuh bersama pakaian lain.
1. Apakah status saya dan pakaian yang terkena asap tersebut dalam keadaan berpeluh?
2. Apakah status barangan yang disentuh saya?
3. Apakah status mesin basuh dan baju-baju dicuci, termasuk juga ampaian untuk menjemur baju yang tersentuh pakain tersebut?
Mohon penjelasan
Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was berkaitan asap dari kedai non muslim tersebut adalah dari babi atau tidak, maka baju dan muka yang terkena asap tersebut kekal bersih dan suci serta tidak perlu disertu.
1. Puan dan pakaian yang terkena asap tidak bernajis walaupun dalam keadaan berpeluh.
2. Barangan yang disentuh adalah kekal bersih.
3. Mesin basuh dan pakaian yang dicuci bersama serta ampaian yang menjemur baju adalah kekal bersih dan suci.
Sekian, terima kasih.