Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Semasa saya bangun tidur, saya ternampak ada objek hitam kecik dekat hujung bantal saya yang tak ada pada malam sebelum saya tidur, saya cuba alihkan objek tu dengan tangan dan menelitinya untuk memastikan adakah itu bangkai serangga atau bukan, tetapi belum sempat saya nak meyakininya, objek tersebut dah terbang sebab ditiup angin kipas dan saya tak dapat cari dia terbang ke mana. Pada keyakinan saya, dia nampak macam bangkai serangga hitam kecik yang macam lalat tu tapi dia sangat-sangat kecik macam saiz tahi lalat je.
Kemudian, saya basuh jela tangan saya tadi dan lepas tu, saya tengok kat bantal tadi, ada nampak kesan tompokan hitam kecil yang samar-samar, tapi saya tak berapa yakin tu kesan dari objek hitam tadi atau kesan tu memang dah ada kat bantal tu tapi saya yang tak perasan. Saya cuba jela basuh pakai air tapi bila air tu kena kat tompokan tu, airnya tak meresap terus dalam sarung bantal tu tetapi dia mengalir ke bawah dan kena la kat cadar pulak. Saya cuba je bersihkan tompokan tadi pakai siraman air 3 kali + lap kedua-dua bantal & bahagian tilam yang basah tadi dengan guna tisu yang sama + gosok2 pakai tisu basah untuk hilangkan kesan tu tapi tak hilang juga, tinggal warna je + saya siram lagi 3 kali dengan air.
Persoalannya:
Saya mempunyai penyakit was-was yang agak teruk bab najis ni, pada amatan saya, bangkai serangga tu sangat kecik dan kuanitinya cuma satu, yakni sedikit maka dimaafkan sebagaimana yang Mufti pernah terangkan dalam beberapa soalan sebelum ini. Saya juga rasa tompokan hitam tu saya tak yakin datang dari mana, jadi ianya kekal suci. Bahkan, walaupun ianya memang datang dari bangkai serangga tadi, ianya dimaafkan kerana bangkai tu sendiri dimaafkan. Adakah pemahaman saya betul? Saya ingin mendapatkan nasihat dan pendapat dari mufti tentang hal ini.
Terima kasih.
Jawapan
Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya wajib dibersihkan dan disucikan. Oleh itu, bangkai serangga itu sendiri, maka menurut pendapat yang shahih, adalah tetap najis kerana ia adalah bangkai. Manakala serangga seperti semut yang tidak mempunyai darah, maka ianya dimaafkan dan cukup sekadar dibuang sahaja bangkai semut tersebut. Merujuk kepada persoalan,
1) Jika tiada kepastian berkaitan objek tersebut, maka bantal tersebut adalah kekal suci daripada najis.
2) Tompokan hitam tersebut pada bantal tersebut bukan najis. Kawasan tilam yang basah terkena lelehan air basuhan bantal tidak bernajis.
3) Jika terdapat najis pada cadar adalah sebaiknya dihilangkan ain najis tersebut dengan tisu atau kain. Setelah itu, pisahkan cadar dari tilam dan basuh tempat yang terkena najis pada cadar tersebut dengan dialirkan air padanya dan dikeringkan cadar tersebut. Sekiranya cadar tersebut terus dialirkan air ke tempat yang ada najis, maka air tersebut menjadi mutannajjis dan boleh menajiskan tilam.
Sekian, terima kasih.