Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam....sejak 10 tahun lepas... saya bayar cukai pendapatan pd Lhdn....tanpa bayar zakat pendapatan..sbb pada masa tu saya terkhilaf....dan kurang faham serta terlepas pandang....pd masa ni saya tahu bayaran cukai pendapatan pd Lhdn adalah tuntutan undang2 manakala zakat pendapatan adalah tuntutan agama....soalan saya.....patutkan saya bayar balik zakat pendapatan utk 10 tahun tu...?? Sekian...
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Zakat merupakan asas utama dalam sistem ekonomi Islam dan memainkan peranan penting dalam kesejahteraan umat. Ia adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat kemampuan. Zakat al-mal al-mustafad merujuk kepada pendapatan yang diperoleh melalui usaha atau pekerjaan seseorang Muslim. Dalam perbincangan fiqh, zakat pendapatan termasuk dalam kategori al-mal al-mustafad. Justeru setiap umat Islam wajib melunaskan zakat pendapatannya. Ia dikira tanpa perlu menunggu haul apabila melepasi nisab dengan mengambilkira keperluan hawaij al-asliyyah.
Maka dalam hal ini, tuan perlu menjelaskan keseluruhan zakat pendapatan yang lalu kerana ia dihukumkan sebagai qada zakat. Qada zakat bermaksud, melaksanakan zakat yang wajib ditunaikan pada masa lalu, namun gagal ditunaikan oleh kerana lupa, sengaja atau meninggalkanya dengan apa-apa alasan sehingga berlalu haulnya (setahun), maka ia wajib ditunaikan dengan kadar segera. Namun perlu diketahui bahawa qada zakat adalah berdasarkan kepada nisab ketika haul yang terdahulu. Pembayarannya pula boleh dilunaskan secara ansuran atau mengikut kemampuan. Oleh itu, kami mencadangkan agar merujuk kepada amil zakat atau pihak yang berkenaan seperti Lembaga Zakat Selangor untuk mendapatkan nasihat lebih lanjut mengenai cara mengira jumlah zakat yang perlu dibayar bagi tahun-tahun yang lepas.
Sekian, terima kasih.