Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ada melihat beberapa pusat/klinik kecantikan menawarkan servis seperti memutihkan kulit terutama sekali bahagian kulit yang sering berlipat seperti ketiak. Salah satu servis yang saya dapati ialah memutihkan bahagian sulit dengan mengunakan laser treatment atau sebagainya.
Saya ingin bertanya apakah hukum jika seseorang memutihkan bahagian sulit? Ini kerana ia melibatkan isu aurat. Adakah dibolehkan jika niat untuk kecantikan/keselesaan diri dan bukanlah untuk perubatan.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, memutihkan atau mencerahkan bahagian sulit seperti celah peha yang menjadi hitam kerana geseran kulit pada umumnya adalah harus. Walau bagaimanapun, kaedah yang digunakan hendaklah tidak bercanggah dengan syarak atau mendatangkan kemudaratan.
Menggunakan kaedah rawatan laser mungkin boleh mendatangkan kemudaratan, di samping ia melibatkan orang lain yang menyebabkan kepada pendedahan aurat di dalam keadaan yang tidak mendesak atau terpaksa. Oleh itu, ia tidak diharuskan. Namun, rawatan menggunakan kaedah sapuan bahan yang halal dan tidak mendatangkan kemudaratan dengan melakukannya sendiri adalah diharuskan..
Sekian, terima kasih.