Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya menternak serangga yang dipanggil Springtail yang berguna sebagai pelupus bahan reput bagi individu yang mempunyai hobi dalam membina Terrarium.
Ukuran serangga ini amatlah kecil dan sesuai untuk Terrarium berukuran sederhana. Ia juga cepat membiak.
Saya menjual serangga ini secara atas talian dengan cara meletakkan ia dalam bekas makanan kedap udara dan pos.
Namun akibat ukurannya yang teramat kecil, saya tidak menjual berdasarkan jumlah populasi namun saya sekadar mengisi bekas makanan itu sehingga saya berasa sudah cukup dan jelas terlihat ia merayap di dalam bekas itu.
Apakah hukumnya? Adakah cara saya perdagangan saya ini haram?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara asasnya, hukum melakukan jualan preorder secara online (dalam talian) adalah dibenarkan dalam syarak berdasarkan kesepakatan fuqaha. Justeru, mengikut situasi yang tuan alami sebagai penjual serangga yang dipanggil Springtail kepada pembeli atau pelanggan berdasarkan cara dan kaedah yang tuan lakukan adalah dibenarkan. Hal ini kerana bahawa seorang penjual itu mempunyai kuasa untuk meletakkan harga tertentu pada barang yang dijual mengikut harga semasa yang bersesuaian dan juga uruf setempat sehingga tidak menzalimi pembeli. Ini juga dikuatkan dengan Asas jual-beli ialah al-Taradhi التراضي (wujud keredaan bersama antara penjual dengan pembeli) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Melainkan diadakan jual-beli yang saling meredhai antara kamu.
Lanjutan daripada itu, nasihat kami jika tuan melakukan jual beli ini melalui media sosial atau di manapun yang penting adalah tuan hendaklah mengemukakan keterangan yang jelas kepada pihak pembeli yang melibatkan butiran bagi jenis, kualiti dan kuantiti barangan tersebut. Selain itu, jika diberi keterangan melalui gambar, tuan haruslah mengemukakan gambar sebenar barangan tanpa membuat sebarang pengubahsuaian bagi memperelok gambar atau visual dengan tujuan mengaburi mata pihak pembeli.
Sekian, terima kasih