BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Macam mana kita nak zikir kepada allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W.

di youtube ustad tu kata

kalau zikir kepada Allah, Allah je

tapi, kalau selawat kepada Nabi, kita selawat kepada Nabi sekali kepada Allah.

jadi dia kata lebih baik berselawat

mohon pencerahan...


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Zikir pada dasarnya adalah mengigati Allah SWT dengan apa cara jua sekalipun. Salah satu cara berzikir adalah dengan membaca bacaan zikir tertentu atau selawat dan juga bacaan al-Quran. Intipati terpenting ketika berzikir adalah mengingati Allah SWT dengan menghadirkannya di dalam hati. Tidak kira dengan apa cara atau lafaz, selagi mana ia dibenarkan syarak dan dapat mengingati Allah SWT maka ia adalah yang terbaik.

Manakala dalam menentukan zikir mana lebih baik atau lebih afdhal, ianya terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama. Ada hadis yang menyebutkan sebaik-baik zikir adalah al-Quran dan selepas al-Quran adalah tasbih, tahmid, tahil dan takbir. Ini seperti yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundam RA, sabda Nabi SAW:

‌أفضل ‌الكلام ‌بعد ‌القرآن - وهو من القرآن - أربع  لا يضرك بأيهن بدأت: سبحان الله، والحمد لله، ولا إله إلا الله، والله أكبر 

Maksudnya: Sebaik-baik kalam selepas al-Quran adalah subhanallah, alhamdulillah, la ilaha illallah dan Allahu akbar. (Riwayat Ahmad)

Begitu juga dinyatakan tahlil adalah sebaik-baik zikir seperti yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, sabda Nabi SAW:

أفضل ‌الذكر لا إله إلا الله

Maksudnya: Sebaik-baik zikir adalah la ilaha illallah. (Riwayat al-Tirmizi)

Selawat juga mempunyai keistimewaannya tersendiri apabila Allah SWT dan para Malaikat sendiri berselawat kepada Nabi SAW. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 56:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ‎

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, untuk berzikir, berselawat mahupun membaca al-Quran adalah baik dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Terserah kepada diri masing-masing untuk berzikir dengan apa-apa bentuk zikir yang boleh mendatangkan kebesaran Allah SWT di dalam jiwa dan menenangkan hati.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 80

message user image