BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Mohon penjelasan lebih mendalam Hukum Solat Telekung tanpa pakaian dalam menutup aurat, kerana terdapat banyak keliruan timbul di media Sosial.

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada artikel yang dikeluarkan tempoh hari, hukum sebenar adalah seperti yang telah dinyatakan. Penulisan artikel tersebut bertujuan mendidik masyarakat mengamalkan perkara yang menjadi sandaran utama mazhab kita di Malaysia iaitu mazhab Syafi’i. Adapun mazhab-mazhab yang lain tidak menyebutkan pandangan yang jelas mengenai hukum yang berbeza daripada yang telah disandarkan dalam mazhab Syafi‘i.

Berikut merupakan pautan artikel tersebut:

https://www.muftiselangor.gov.my/2024/10/18/73-taudhih-al-hukmi-penjelasan-hukum-solat-dengan-pemakaian-telekung-kebiasaan-wanita-melayu/

Memandangkan isu ini telah lama dibahaskan oleh para ulama‘ dan ia bukanlah perkara yang baharu, namun penerimaan masyarakat pada peringkat awal terhadap isu ini dilihat agak mengejutkan dan keliru. Oleh itu, solusi terbaik adalah dengan berlapang dada dan menerima perkara ini sebagai satu pembaharuan yang bertujuan memperbaiki pelaksanaan solat selaras dengan usaha dan kemampuan masyarakat pada masa kini.

Justeru, adalah disarankan kepada masyarakat sama ada:

Pilihan

Aplikasi

Penerangan

1. Menggunakan telekung 1 piece

Inisiatif ini lebih mudah diaplikasikan di rumah bagi wanita yang kebiasaan berpakaian sebagaimana di rumah (yakni yang tidak menutup aurat).

Mengenakan apa-apa pakaian yang tidak menutup aurat di dalam tudung telekung tidak memberi kesan  kepada syarat sah solat dengan syarat material telekung 1 piece yang dipakai tersebut tidak jarang sehingga boleh menampakkan warna kulit dan hendaklah longgar.

2. Menggunakan telekung 2 piece

a) Tudung telekung 2 piece yang labuh melebihi paras lutut serta mencecah lantai ketika rukuk dan perlu memegang bahagian bawah tudung telekung agar tidak terbuka luas ketika melakukan pergerakan seperti rukuk dan sebagainya.

Atau,

b) Tudung telekung 2 piece paras lutut disarankan memakai sama ada:

  1. Baju berlengan pendek + armsock
  2. Baju berlengan pendek + cardigan
  3. T-shirt berlengan panjang
  4. Jubah

Bagi kedua-dua keadaan ini, adalah disarankan dan perlu memegang bahagian bawah tudung telekung agar tidak terbuka luas ketika melakukan pergerakan seperti rukuk dan sebagainya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

3. Tanpa pemakaian telekung

Pakaian yang dipakai adalah pakaian yang menutup aurat dan bukaan bawah pakaian serta pergelangan tangan tidak luas.

Memastikan tudung yang dipakai tidak terbuka luas dan terjurai ke bawah ketika sedang melakukan pergerakan dalam solat seperti semasa rukuk, iktidal dan sebagainya.

Disarankan mengenakan armsock (stokin lengan) dan stokin kaki yang panjang.

Inisiatif melekatkan bawah tudung pada baju dengan menggunakan pin dan memastikannya tidak terbuka luas.

Ditegaskan bahawa tujuan artikel yang telah diterbitkan tersebut adalah untuk mendidik masyarakat memahami hukum sebenar bersandarkan mazhab Syafi’i yang telahpun sudah lama diperbahaskan oleh para ulama’. Seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut, solat-solat terdahulu yang dilaksanakan dalam keadaan tidak mengetahui akan hukum ini adalah sah dan tidak perlu diqada’. Namun, apabila sudah mengetahui akan hukum ini, maka adalah menjadi satu kewajipan untuk melakukan perubahan, menjadikan perkara yang betul itu suatu kebiasaan serta menyebarkannya untuk manfaat kebaikan bersama.

Semoga Allah memudahkan usaha kita semua dalam urusan memperbaiki amal ibadah dan berdamai tanpa perlu menyebarkan perkara-perkara yang kurang baik sesama kita serta tidak bermudah-mudah untuk menghukumkan bahawa solat seseorang itu tidak diterima oleh Allah SWT tanpa betul-betul memahami hukum yang dimaksudkan oleh syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 177

message user image