Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz..
Saya dan suami telah berkahwin selama 13 tahun. Saya bekerja dan suami buat pelbagai jenis bisnes..Apabila satu bisnes tidak menjadi die cuba yang lain sehinggalah ke hari ini..dan masih belum direzekikan untuk betul2 berjaya..sepanjang perkahwinan banyak hutang2 die yang saya selesaikan..cuma sampai pada satu tahap ada satu pemiutang bertindak utk menyaman die dan sy kerana mungkin die letak nama saya sebagai penjamin dan tiru tanda tangan sy..kami dapat call dari polis mengatakan polis akan datang ke rumah kami dan ingin menyita barang dalam rumah..setelah bincang dengan pemiutang..mereka setuju supaya suami bayar sebahagian dahulu..jumlahnya agak banyak walaupun sebahagian..dan suami memang langsung tiada pendapatan..sudahnya saya terpaksa guna sebahagian cash saya dan sebahagian lagi dr credit card sy..saya sangat kecewa..jadi sy meletakkan syarat kepada suami..hutang yg ini die kena byr sebab saya sendiri bersusah payah utk bayar card credit tu..selagi tidak selesai sy tidak mahu melayani kehendak nafsunya..saya berkata sekiranya die rasa syarat itu tidak masuk akal saya minta die ceraikan sahaja saya..jadi die bersetuju..die ade bayar sedikit2..setiap kali die bayar saya akan layan kehendaknya..tetapi selepas 2-3 bulan..die kembali tiada pendapatan..dan ia telah berlaku dalam 3-4 bulan..dan selama itu sy tidak melayaninya..adakah saya berdosa besar membuat syarat begini ustaz..adakah ianya salah..
Jawapan
Secara asasnya isteri dilarang menafikan hak suami ke atas dirinya, bahkan menolak permintaan suami untuk bersetubuh dengan memberi helah adalah berdosa besar melainkan pada keuzuran syarak seperti ketika haid, nifas, keadaan zihar, sakit dan ketika ihram, kerana tanggungjawab isteri adalah mentaati perintah suami pada perkara yang maaruf selagi dalam kerangka syara. Para fuqaha bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan wujud alasan-alasan syarie sebagaimana yang dinyatakan di atas.
Isteri juga harus memahami bahawa dia boleh dikira nusyuz (derhaka) sekiranya menolak hubungan seksual bersama suaminya, namun seandainya dia menolak kerana uzur seperti wanita tengah sakit yang membawa mudarat dengan bersetubuh, farajnya luka dan sedang haid, maka dia tidak dihukumkan nusyuz. Kesimpulannya, sekiranya tiada keuzuran syarie, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan dalil yang menunjukkan ancaman. Dan ancaman yang dimaksudkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi. (Riwayat al-Bukhari)
Dalam menanggapi permasalahan puan, berbincanglah dengan pihak suami agar dapat melunaskan hutang-hutangnya dengan bersungguh-sungguh. Carilah ikhtiar bersama untuk mendapatkan tambahan pendapatan dan berdoalah kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan pengabdian, tingkatkan iman dan taqwa, agar Allah SWT mempermudahkan urusan puan dan suami serta diluaskan rezeki dalam keadaan yang tidak dijangka, insya Allah.
Sekian, terima kasih.