Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..saya ada satu soalan..Suami isteri bergaduh lalu si isteri berkata, "cerai la aku"..si suami berkata, "kalau xdak anak2, lama dah aku cerai ko". Isteri berkata lagi, "kalau anak2 mati?" Suami kata, "ya cerai la.." isteri berkata, "abang dah ta'liq tu.." suami berkata "ya, memang ta'liq"..adakah jatuh talak itu andai semua anak2 mereka dah meninggal nanti..Tetapi suami tiada langsung niat untuk ceraikan isteri walaupun tiada anak sekalipun..
Jawapan
Merujuk kepada situasi tersebut, ucapan suami: "kalau tidak anak-anak, lama dah aku cerai ko", bukanlah lafaz taklik. Ia hanyalah suatu perkhabaran bahawa kalau tidak ada anak dari awal lagi suami sudah ceraikan isteri.
Manakala ucapan atau jawapan suami terhadap soalan isteri: Isteri berkata: "kalau anak-anak mati?" Suami kata: "ya cerai la.." Isteri berkata: "abang dah ta'liq tu..", suami berkata: "ya, memang ta'liq", dibimbangi ia boleh membawa kepada taklik talak walaupun tanpa niat kerana lafaz yang diucapkan adalah sorih.
Oleh itu, bersegera untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah terdekat sebagai pihak yang berbidangkuasa memutuskan sama ada suatu lafaz talak atau taklik talak, sah atau tidak.
Sekian, terima kasih.