Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammua’laikum ustaz/mufti, saya ingin tanya, apakah hukum saya menjual kasut tetapi company tersebut promosikan iklan wanita yang tidak menutup aurat termasuk bahagian kaki, apakah pendapatan saya itu kira masih halal?
Kerana saya hanya menjual dan menjaga di bahagian kedai kasut itu sahaja, tatkala di kedai saya itu ada gantung gambar wanita tidak menutup aurat dan kdg saya bersihkan juga gambar wanita tidak menurup aurat digantung itu kerana amanah tugasan saya sebagai seorang pekerja..dan juga company ada promosi wanita yg tidak menutup aurat di dalam website itu..
tetapi tugasan saya hanya menjual/menjaga kasut dan membantu pelanggan di dalam kedai, apakah gaji saya halal? Kerana saya bekerja bawah company itu..mohon penjelasan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sebahagian besar ulama berpandangan bahawa status pendapatan yang diterima hasil daripada bekerja dengan syarikat yang terlibat dengan model wanita yang tidak menutup aurat secara langsung dalam penghasilan, pengedaran atau mempromosi kandungan yang mengandungi elemen yang haram seperti tujuannya memang untuk memaparkan wanita yang tidak menutup aurat, pendapatan yang diperoleh dianggap sebagai haram. Ini kerana pendapatan tersebut datang dari usaha yang berkaitan dengan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam.
Jika keterlibatan adalah secara tidak langsung, maka pendapatan tersebut mungkin berada dalam kategori syubhah, dan individu tersebut dianjurkan untuk berhati-hati dan berusaha mencari pekerjaan yang lebih sesuai dengan syariat. Dalam semua keadaan, adalah penting untuk mencari rezeki yang halal, dan sekiranya terlibat dengan sumber pendapatan yang haram, disarankan untuk bertaubat dan mencari alternatif yang lebih baik.
Justeru, jika puan merupakan seorang pekerja bagi sesebuah syarikat yang menjual barangan yang diharuskan tetapi pada masa yang sama menggunakan kaedah pengiklanan yang tidak patuh syariah, maka hasil yang didapati dari pekerjaan tersebut tidaklah menjadi haram, selagimana pekerjaan yang puan lakukan tidak terlibat dengan sesuatu yang bertentangan dengan syariat.
Sekian, terima kasih.