Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, jika suami ber taklik tidak akan merokok lagi, dalam keadaan sembunyi atau nyata maka akan talak la ke atas saya. Adakah taklik itu sah? Adakah talak akan jatuh jika suami masih lakukan?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, mengetahui dengan tepat dan jelas lafaz yang diucapkan oleh suami adalah penting bagi menentukan sama ada taklik talak berlaku atau tidak. Memandangkan tiada lafaz yang diberikan, kami tidak dapat memberikan sebarang pandangan hukum terhadap apa yang berlaku.
Walau bagaimanapun, sebagai panduan. Jika ucapan itu berbunyi: "Jika aku merokok lagi sama ada secara terang-terang atau sembunyi, aku akan ceraikan engkau", ia merupakan ucapan berbentuk khabari (perkhabaran atau hasrat) iaitu seandainya suami merokok sama ada secara terang-terang atau sembunyi, maka suami akan menceraikan isteri. Oleh itu, terpulang kepada suami sama ada mahu meneruskan hasratnya iaitu menceraikan isterinya atau sebaliknya.
Ucapan tersebut tidak membawa kepada berlakunya talak taklik yang menyaratkan ucapan berbentuk insya'i (talak berlaku dengan serta-merta), seperti ucapan suami: "Kalau aku merokok lagi sama ada terang-terang atau sembunyi, maka tercerai kau".
Untuk mendapat kepastian, sila rujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah terdekat sebagai pihak yang berbidangkuasa menentukan sama ada suatu lafaz talak atau taklik talak, sah atau tidak.
Sekian, terima kasih.