Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Suami saya telah berkata, jika berlaku lagi hal ni, kita cerai. Adakah ini boleh jatuh talak jika hal itu berlaku?
Hal dimaksudkan ialah
1. Membuat profil di dating apps dan bersembang dgn perempuan yang dia match di dalam apps tersebut.
2. Menghubungi perempuan lain yang tiada pertalian darah, tiada hubungan pekerjaan, hanya sekadar kenalan
3. Berjumpa tanpa tujuan (lepak / meet up) dengan perempuan yang tiada pertalian darah, dan tiada hubungan pekerjaan, hanya sekadar kenalan.
Mohon penjelasan dari pihak Tuan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ucapan suami yang mengatakan jika berlaku lagi hal ini (sebagaimana senarai yang dinyatakan), kita cerai, merupakan suatu bentuk khabari (perkhabaran atau pemberitahuan) bahawa sekiranya perkara yang disenaraikan itu berlaku, maka mereka akan bercerai. Ini bermakna, sekiranya perkara itu berlaku dan suami ingin menceraikan isteri, maka suami perlu melafazkan cerai kepada isteri.
Ucapan tersebut tidak membawa kepada taklik talak. Ini kerana, taklik talak perlu kepada lafaz yang membawa kepada penceraian secara serta merta, seperti ucapan suami: "Jika perkara itu berlaku lagi, maka tercerai engkau".
Untuk mendapat kepastian, sila berhubung Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah sebagai pihak yang berautoriti menentukan sama ada suatu lafaz talak atau taklik talak, sah atau tidak.
Sekian, terima kasih