BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Asalamualaikum ustaz saya di sini ingin bertanya..saya dan suami telah mendirikan rumah tangga selama 8 tahun..tetapi sekarang suami telah menunjukan perubahan..yang sangat kuat marah,baran tak tentu pasal..tak nk terima teguran,suka berkata kasar dengan memaki saya,dan naik tangan..apa yang saya tak boleh terima dia mula mengambil dadah,dan bermain judi,dan terkantoi bahawa dia pernah melakukan zina dengan mencari pelacur,apa yang dia beritahu saya  kata nya itu hanya kesilapan,tetapi hati saya sangat tidak percaya kalau perkara itu hanya terjadi sekali..apa yang saya cuba ingin sampaikan adalah saya ingin meminta cerai,tetapi suami saya tidak bersetujuh,dan saya meminta izin untuk pulang ke malaysia,tetapi dia berkata dia tidak akan mengizinkn saya pulang,dan saya tak ada tempat untuk mengadu, selain ibu saya,dan ibu saya juga yang meminta saya pulang kerana risau keadaan saya..dan ibu saya mula menunjukan bahawa dia tidak ingin saya meneruskn lagi perkawinan ini..apakah  saya berdosa sekiranya saya tetap dengan keputusan saya ingin bercerai dan pulang ke malaysia,apa yang patut saya  lakukan ustaz?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Perceraian adalah merupakan antara cara dan jalan terakhir bagi pasangan suami isteri memilih haluan masing-masing untuk berpisah. Akan tetapi ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan hanya untuk memuaskan hawa nafsu dan perasaan benci tanpa berlandaskan ketentuan syarak. Ini kerana Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW pernah bersabda;

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: Perkara yang halal yang amat dibenci oleh Allah SWT ialah talak. (Riwayat Abu Daud)

Begitu juga peringatan untuk isteri bahawa meminta penceraian tanpa ada sebab yang dibenarkan mengikut syarak adalah dilarang dan berdosa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Thauban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga. (Riwayat al-Tirmidzi)

Dalam hadis yang mulia ini terdapat ancaman yang keras terhadap seorang isteri yang meminta cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara, dan perbuatan tersebut adalah perbuatan yang dilarang dalam agama serta merupakan perbuatan yang membawa kepada dosa.

Walaubagaimanapun, isteri boleh memohon cerai apabila ada alasan yang dibenarkan dan munasabah pada syara, sebagaimana yang dinyatakan dalam enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, seksyen 52 menyebutkan : (1) Seseorang perempuan yang berkahwin di bawah Hukum Syara' adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu :-

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin ) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain---

    (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

     (ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara'; atau

     (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

     (iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

     (v) menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

     (vi) jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, ia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syara'.

(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau lain-lain hal yang diakui oleh Hukum Syara';
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syara'.

Oleh yang demikian, dalam menghadapi situasi seumpama ini dinasihatkan kepada pasangan agar merujuk terlebih dahulu kepada Mahkamah Syariah atau pejabat agama yang berhampiran agar masalah ini dapat dirujuk kepada pihak yang berautoriti agar perjalanan urusan pasangan tersebut terlaksana dalam keadaan yang baik, tertib serta tidak tersasar dari landasan syarak dan enakmen-enakmen yang sedia ada.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 86

message user image