Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingini bertanyakan berkenaan perwarisan harta.
Saya mempunyai seorang makcik yang tidak berkahwin, tidak mempunyai anak, tetapi mempunyai adik beradik. Makcik saya ini mempunyai sebiji rumah miliknya. Makcik saya ingin mewakilkan saya (anak buah) untuk menguruskan duit sewaan rumah tersebut apabila dia sudah meninggal dunia di masa akan datang. Secara ringkasnya, dia ingin menganggap duit sewaan itu sebagai wakaf dengan duit itu dibahagikan setiap bulan/tahun kepada adik-beradik berserta generasi seterusnya. Saya sudah menerangkan kepada makcik saya bahawa perkara ini akan merumitkan keadaan apabila rumah itu diwakilkan ke generasi seterusnya, tetapi dia berdegil dan seperti kurang ilmu apabila saya menerangkan berkenaan faraid. Kerana dia beranggapan bahawa semua harta milik dia akan ke baitulmal apabila dia meninggal dunia, sedangkan dia masih mempunyai adik beradik lain. Saya menolak untuk menjadi wakil menguruskan harta dia kerana merasakan tanggungjawab tersebut sangat berat dan merumitkan keadaan bagi generasi seterusnya. Saya juga menyatakan saya akan menjual rumah tersebut dan membahagikan sama rata mengikut adik-beradik mereka jika dia sudah tiada, jika dia berkeras untuk menamakan saya sebagai wakil. Saya turut mengsyorkan dia untuk menghibbahkan harta dia kepada sesiapa yang dia sukai dan percayai, daripada merumitkan keadaan begini. Apakah pendapat pihak tuan/puan berkenaan masalah ini? Adakah terdapat solusi yang lebih baik?
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, disarankan agar makcik puan membuat wasiat. Wasiat tersebut melantik Majlis Agama Islam Selangor sebagai wasi dan membuat pesanan sebagaimana hasrat yang diinginkan, iaitu manfaat hartanya diserah kepada wakaf dan sebahagian lagi diagihkan kepada waris yang berhak.
Oleh yang demikian, pihak puan bolehlah merujuk laman web https://siswa.mais.gov.my untuk permohonan wasiat secara atas talian atau hubungi Bahagian Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor di talian 03-5514 3773 untuk keterangan lanjut.
Sekian, terima kasih.