Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Adakah terangkat hadas besar seseorang yang mempunyai tattoo di badannya.
2. Adakah masih dikira mukallaf seseorang yang telah disahkan oleh pakar perubatan sebagai pesakit mental (skizofrenia).
Jawapan
Merujuk kepada soalan pertama yang diajukan, pada asasnya, hukum bertatu dalam Islam adalah haram dan tidak sah wuduk atau mandi wajib seseorang yang mempunyai tatu. Maka, orang yang bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada (sekiranya tidak membawa kepada kemudaratan). Namun, sekiranya tindakan menghilangkan tatu tersebut boleh mendatangkan kemudaratan, maka tidak mengapa dibiarkan dan dimaafkan. Justeru, dalam keadaan ini hadas besarnya dikira terangkat.
Merujuk kepada soalan kedua pula, antara syarat wajib solat adalah mukallaf,baligh dan berakal sempurna. Bagi seorang OKU mental seperti skizofrenia (yang telah didiagnos oleh pakar) untuk mendirikan solat adalah bergantung kepada tahap kemampuannya untuk memahami perintah atau suruhan solat. Ini kerana, tahap atau peringkat kemampuan mental mereka adalah berbeza-beza mengikut tahap keseriusan penyakit yang dialami. Oleh yang demikian, pesakit perlu merujuk kepada pakar psikiatri terlebih dahulu. Seandainya gangguan yang mereka alami adalah di peringkat ringan, malah mereka masih mampu melaksanakan aktiviti harian, mengurus diri serta memahami tuntutan solat, maka wajib bagi mereka mendirikan solat. Manakala, sekiranya gangguan berada di peringkat pertengahan yang menjadikan pesakit mental itu seperti kanak-kanak, namun masih mampu membezakan apa yang baik dan yang buruk, maka mereka dihukumkan seperti kanak-kanak mumayyiz yang sah solatnya. Walau bagaimanapun, sekiranya gangguan mental berada di tahap serius yang menyebabkan kesukaran memahami suruhan atau tidak dapat menguruskan diri sendiri, maka tidak wajib ibadah solat ke atasnya.