Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah,
Saya sedang bergaduh dengan suami. Tetapi suami membuat "silent treatment" terhadap saya. Saya sudah meminta maaf dengan cara baik tetapi si suami jenis marah yang simpan lama. Bila ditegur seperti biasa suami seperti terpaksa menjawab. Hal hal yang suami biasa buat juga tidak dibuatnya kerana marah. Marah disimpan sudah 2 hari. Saya rasa amat tertekan dengan keadaan ini sehingga terpaksa menelan ubat tidur. Bolehkah saya meluahkan perasaan kepada ibu saya?
Adakah cara lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini?
Terima kasih ustaz/ustazah.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sewajarnya cuba untuk berkomunikasi dan sampaikan dengan secara berhikmah kepada suami perasaan serta tekanan yang puan hadapi. Seandainya tidak perubahan pada suami, minta izin daripada suami dengan cara yang terbaik untuk berbincang atau meminta nasihat daripada ibu saudari. Nyatakan keterdesakan puan untuk meredakan situasi yang puan alami.
Di samping itu, perbaiki ibadah terutamanya solat dan banyakkan bermunajat serta berdoa kepada Allah SWT agar diberikan sakinah dan ketenangan di dalam keluarga.
Di dalam keadaan yang mendesak serta dibimbangi keadaan menjadi tidak terkawal, secara umumnya, hukum isteri mengadu kepada ibunya mengenai hal ehwal rumahtangga adalah dibenarkan dalam Islam, selagimana ia untuk kebaikan dan ibunya itu tidak bias kepada salah satu pihak sahaja. Ini sebagaimana kisah yang diriwayatkan daripada Ali bin Talib, bahawa Sayyidah Fatimah Az Zahra mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa dia kepenatan mengurus rumah tangga. Fatimah RH mahu Rasulullah SAW berikan dia pembantu. Tetapi Rasulullah SAW membalas: "Jika kamu berdua hendak tidur, ucapkanlah takbir 33 kali, tasbih 33 kali, dan tahmid 33 kali.
Selain itu puan boleh juga merujuk kepada mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran bagi membuat aduan atau sesi khidmat nasihat, kerana Pejabat Agama Islam Daerah mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan sesi khidmat nasihat kekeluargaan serta mereka mempunyai kepakaran dan peraturan yang menjamin kerahsiaan pihak-pihak yang mengadu dijaga dan dipelihara.
Sekian, terima kasih.