Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Kepada Pihak Tuan yang Arif,
Saya ingin mengajukan persoalan mengenai polemik amalan ibadah harian. Pada pandangan pihak Tuan, apakah cadangan penyelesaian bagi isu polemik ini. Sebagai contoh, isu doa qunut dalam solat subuh dan isu lain yang sering dibahaskan oleh masyarakat pada masa kini.
Sekian Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, persolan yang tuan timbulkan adalah mengenai perkara khilaf di sisi ulama seperti doa qunut. Justeru, mengikut mazhab Shafi'i yang menjadi pegangan utama umat Islam di Malaysia, hukum membaca doa qunut pada solat subuh adalah sunat abadh namun di sisi mazhab yang lain tidaklah menjadi sunat ketika solat subuh. Oleh itu, dalam perkara sebegini maka tidak menjadi suatu kesalahan bagi mereka yang mengamalkan perkara yang khilaf (perselisihan pandangan) antara para ulama kerana setiap dari amalan tersebut mempunyai dalil dan hujah dalam agama. Begitu juga, dalam isu lain yang sering berlaku sekarang ini iaitu perselisihan pandangan antara ilmuwan di Malaysia malah di seluruh dunia adalah dalam ruang lingkup perkara khilafiyyah iaitu perkara yang mempunyai asas dalam agama dan ia tidak boleh sama sekali dihukumkan bid‘ah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu seperti:
i. Konsep penggunaan dan pengamalan Hadis Dhaif
ii. Membaca Yasin pada malam Juma‘at
iii. Membaca tahlil dan talqin untuk si mati
iv. Mengadakan kenduri arwah dan lain-lain.
Justeru, cadangan yang boleh diberikan dalam perkara yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia sejak zaman-berzaman yang bertepatan dengan syariat Islam adalah tuan boleh terus mengamalkan segala perkara tersebut selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum-hakam Islam. Perkara sebegini tidak boleh dikatakan sebagai bid'ah kerana ianya bersalahan dengan pandangan para ulama namun jika ianya telah berlaku kesepakatan antara para ulama maka boleh dihindarkan diri dari mengamalkannya. Imam al-Suyuti di dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nadzair menyebutkan satu kaedah fiqh iaitu:
Maksudnya: Tidak diingkari atau dicegah perkara yang menjadi khilaf, hanya yang diingkari ialah perkara yang telah disepakati oleh ulama’ (ijma’).
Selain itu, dalam penetapan sesuatu amalan itu sama ada ianya boleh diamalkan ataupun tidak, tuan boleh merujuk dan bertanya kepada ahlinya seperti ustaz atau ustazah yang mempunyai keahlian dalam menjawab soal hukum agama.
Sekian, terima kasih.