Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ingin bertanya berkenaan hukum solat bagi wanita yang keguguran.
Saya mengandung, tetapi kandungan saya x menjadi (kantung kosong).Doktor sahkan saya missed miscarriage (keguguran) ketika kandungan berusia 16minggu (3bulan lebih). Soalan saya apakah status darah yang keluar selepas keguguran & bila waktu yang dibolehkan untuk mandi wajib & solat selepas keguguran tersebut?
Semoga pihak Tuan dapat memberikan penjelasan & jawapan untuk soalan yang saya kemukan. Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, status darah yang keluar adalah darah nifas. Ini kerana nifas merupakan darah yang keluar daripada rahim sejurus melahirkan anak atau sebaik sahaja rahim dikosongkan. Di dalam situasi yang dinyatakan, keguguran berlaku ketika kandungan berusia 16 minggu dan masih dalam kategori 'alaqah (segumpal darah). Menurut pandangan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu': “Dan jika seorang wanita keguguran dalam bentuk gumpalan darah, atau ketulan daging, maka tentang kewajipan mandi itu ada dua wajah (pendapat dalam kalangan ashab); pendapat yang lebih sahih ialah wajib.”
Justeru, darah yang keluar tersebut adalah darah nifas dan wajib mandi selepas suci daripada nifas. kadar minimum bagi darah nifas adalah satu percikan (majjah) darah yang keluar selepas bersalin walaupun sedikit. Manakala, tempoh normal darah nifas keluar adalah 40 hari sehingga yang paling maksimum iaitu 60 hari. Maka, sekiranya darah nifas telah berhenti dalam tempoh yang dinyatakan (tidak melebihi 60 hari), maka perlulah melaksanakan mandi wajib.