Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
saya nk bertanya solusi masalah yang sedang saya lalui. Pada 2015, adik perempuan saya telah melahirkan zuriat luar nikah. Anak tersebut dibela oleh saya semenjak dia lahir kerana hendak menutup aib keluarga.
persoalan:
-Apekah aurat sy dgn anak yang saya bela itu?
pada 2021, adik perempuan saya telah bernikah tetapi dia telah merahsiakan tentang kelahiran anak nya itu.
persoalan :
-Adakah ia salah kerana merahsiakan nya sabit nasab?
bagaimana cara untuk saya menasihati ibu bapa tentang hakikat bahawa anak tersebut tetap anak adik perempuan saya yang perlu adik saya galas tanggungjawabnya sebagai seorang ibu?
saya telah dipersalahkan kerana tidak meneruskan proses anak angkat bayi tersebut...kerana pada fikiran mereka apabila sijil lahir telah bertukar menjadi sijil anak angkat, tiada lagi tertera nama ibu kandung di sijil tersebut dan nama ayah kandung yang tiada..
mohon pencerahan dan nasihat
terima kasih.
Jawapan
Menjawab persoalan puan :
1. Puan dengan anak itu adalah mahram kerana ia adalah anak yang mempunyai nasab kepada adik perempuan puan. Hubungan puan dengan anak tersebut adalah anak saudara. Maka dari sudut aurat adalah sama dengan hukum aurat anak saudara puan yang lain.
2. Tindakan merahsiakan status anak tersebut daripada pengetahuan keluarga yang lain, dikhuatiri boleh membawa kepada salah faham dan kesilapan dari sudut hukum hakam terutama berkaitan pewarisan harta ibunya dan urusan perwalian nikah. Oleh yang demikian, berbincanglah dengan cara yang baik dengan semua pihak dan libatkan mana-mana individu yang faham hukum hakam agama dalam perbincangan tersebut, agar semua pihak faham akan persoalan tersebut serta implikasinya dari sudut hukum syarak.
Sekian, terima kasih.