Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya ada melakukan kesalahan sewaktu bekerja seperti tidak bekerja bersungguh-sungguh / buang masa / curi tulang. Dahulu syarikat saya dimiliki oleh satu badan/institusi EQUINAS. Kemudian, badan/institusi tersebut menjual syarikat (tempat saya bekerja) kepada badan/pemilik yang baru. Semua pekerja & pekerja pengurusan masih dikekalkan bila syarikat tersebut dijual.
Jika saya mahu meminta maaf & minta dihalalkan gaji saya disebabkan sikap saya dahulu, saya perlu minta maaf pada pihak pengurusan syarikat tempat saya bekerja sekarang atau perlu meminta maaf kepada EQUINAS?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, Islam sangat mementingkan amanah dan melaksanakan sesuatu pekerjaan sesuai dengan tanggungjwabnya. Malas, culas dan curi tulang semasa bekerja adalah perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Samurah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tunaikan amanah kepada siapa yang memberikan amanah kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu. (Riwayat Ahmad)
Bahkan Allah SWT sangat mencintai hamba-Nya yang melakukan pekerjaan dengan baik. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan bersungguh-sungguh (dengan penuh ketelitian dan kesempurnaan) (Riwayat al-Tabarani)
Sewajarnya jika mampu mohonlah kemaafan daripada pengurusan lama (Equinas) dan pada masa yang bertaubatlah atas kesilapan yang dilakukan serta berazam tidak akan mengulanginya lagi. Gaji yang telah diterima adalah halal kerana ianya adalah hasil usaha kerja yang sah selagi kerja yang dilakukan tidak berkaitan dengan perkara yang diharamkan, namun rezeki yang halal itu sedikit tercemar dari sudut keberkatannya kerana perbuatan yang tidak berintegriti yang telah dilakukan. Berusahalah untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama di masa hadapan bagi menjamin keberkatan rezeki yang diusahakan.
Sekian, terima kasih.