Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti hukum berdoa untuk orang yang telah meninggal dunia untuk dihidupkan semula di dunia ini adakah boleh?Contoh “Wahai tuhanku hidupkan orang yang telah mati ini sekali lagi kemudian kau matikan dia sekali lagi kemudian engkau hidupkan semula dia diakhirat kelak" apa hukumnya adakah salah atau tidak elok?Sewaktu dia berdoa itu tidaklah dia ragu atau menidakkan qada' dan qadar Allah dia percaya tapi dia meminta untuk untuk orang itu dihidupkan semula.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perkara yang ditujukan ini adalah termasuk dalam perkara yang sia-sia dan perkara ini adalah perlu dijauhkan pada diri seseorang muslim itu. Sepertimana sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sebahagian daripada keperibadian muslim yang indah adalah meninggalkan hal yang tidak berfaedah. Riwayat at-Tirmizi (2317)
Hadis ini menekankan bahawa seorang Muslim yang baik ialah yang tidak melibatkan diri dalam perkara yang tidak memberi manfaat kepadanya, baik dari segi agama, duniawi, atau sosial. Ini termasuk perkara yang tidak memberi faedah kepada dirinya atau orang lain, seperti gosip, perbualan kosong, atau perbuatan sia-sia. Justeru,berdoa untuk orang yang telah meninggal dunia untuk dihidupkan semula di dunia ini dikategorikan sebagai perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah kerana seseorang yang sudah mati tidak akan dihidupkan semula. Seorang Muslim seharusnya meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat buat dirinya. Adapun yang lebih baik daripada itu adalah mendoakan kebaikan dan bersedekah kepadanya kepada si mati kerananya ianya lebih memerlukan perkara tersebut dan mendatangkan faedah yang banyak. Tambahan pula, perkara tersebut boleh membuka peluang kepada syaitan dalam menghasut manusia dalam melakukan kemungkaran dan menjauhi diri dari Allah SWT.
Sekian, terima kasih.