Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, saya ada pertanyaan dan perlukan pendapat. Sekiranya seorang suami telah dengan sengaja membuka aib isteri kepada keluarganya dengan alasan dia tidak mahu ambil tahu jika ada apa2 yang mungkin terjadi pada masa akan datang, apakah yang perlu dilakukan oleh isteri? Hal ini menyebabkan isteri rasa tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan keluarga suami disebabkan malu dan memikirkan pandangan mereka pada isteri tersebut. Aib tersebut telah diberitahu pada suami sejak dari sebelum mereka berkahwin lagi dengan tujuan tidak mahu berahsia. Tapi setelah hampir 10 tahun berkahwin, suami mula mengungkit hal tersebut sehingga akhirnya baru2 ini telah memberitahu hal itu kepada keluarga suami tanpa berbincang dengan isteri dahulu. Aib tersebut adalah isteri itu pernah terlanjur sehingga mempunyai anak luar nikah tapi isteri tidak pernah memberitahu keluarganya tentang hal tersebut. Suami terus menerus mendesak isteri memberitahu hal sebenar kepada keluarga isteri. Hal itu telah terjadi bertahun lama sebelum isteri kenal dengan suaminya lagi. Masalah ini mula tercetus sejak suami kenal dengan seorang janda di aplikasi tiktok dan mempunyai keinginan untuk berkahwin dengan perempuan itu pada tahun hadapan memandangkan mereka telah bercinta sejak tahun 2023 lagi. Tapi dalam masa sama dia tidak ingin berpisah dengan isteri kerana fikirkan anak2 yang masih kecil dan sekarang pun isteri sedang mengandungkan anak ke 5. Masalahnya sekarang kalau ikutkan kemampuan dari segi ekonomi, suami tersebut memang tidak mampu sehingga perlu berhutang sana sini untuk meneruskan kelangsungan hidup sehari2 kerana suami satu2nya pencari nafkah dalam keluarga. Apakah yang perlu dilakukan oleh isteri tersebut memandangkan untuk meneruskan perkahwinan akan ada jurang antara isteri dan keluarga suami kerana hal aib tersebut. Tapi dalam masa yang sama, isteri juga dalam dilema memikirkan anak2 kerana isteri memang tidak mempunyai pendapatan tetap kerana tidak bekerja dan isteri juga masih sayangkan rumahtangga mereka. Suami juga telah berterus terang dengan keluarganya tentang perancangannya untuk berkahwin lagi dan seperti yang dijangka keluarga suami memang tidak membantah. Harap soalan ini mendapat maklum balas dari pihak tuan. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
1) Islam melarang untuk membuka aib kepada orang lain sama ada aib diri sendiri atau menceritakan aib orang lain. Bahkan kita diperintahkan untuk menutup aib dan kesilapan-kesilapan lampau, kerana ia suatu perkara yang sangat peribadi dan boleh menjatuhkan kahormatan diri. Sembunyikanlah segala keaiban lampau walaupun terhadap suami kerana ia memungkinkan untuk berlakunya keruntuhan dalam rumahtangga atau ungkit-mengungkit dikemudian hari. Berhati-hatilah ketika berbicara dengan suami agar suami tidak memaksa untuk diceritakan segala kisah silam yang berlaku khususnya kepada ibu bapa.
2) Tindakan suami puan adalah tidak wajar dilakukan. Ini akan mengeruhkan lagi keadaan dan boleh merosakkan kehidupan rumahtangga puan. Sepatutnya apabila suami telah menerima puan sebagai isteri, suami hendaklah memulakan kehidupan baru dengan penuh harapan agar matlamat perkahwinan itu tercapai. Bukan melihat kebelakang dengan mendedahkan kisah silam yang kononnya Allah akan menguji rumahtangga puan akibat kejahilan puan dahulu. Bukahkah tindakan seperti ini menidakkan sifat Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambanya yang khususnya telah bertaubat. Firman Allah SWT di dalam Surah az-Zumar ayat ke-53:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Setiap umatku dimaafkan dosanya kecuali orang-orang yang menzahirkan maksiat yang dilakukannya. Antara bentuk menzahirkan maksiat ialah seseorang yang melakukan maksiat dosa di waktu malam, sedangkan Allah SWT telah menutupinya, kemudian di waktu pagi dia menceritakan dengan berkata : Wahai fulan, semalam aku telah melakukan maksiat ini dan itu. Pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Tuhannya, namun di pagi harinya ia telah membuka apa yang telah ditutupi oleh Allah. (Riwayat al-Bukhari)
Maka segala kisah silam atau segala keaiban tidak perlu diceritakan kepada ibu bapa dan keluarga terutamanya apabila telah bertaubat. Taubat adalah penghapus segala dosa-dosa yang telah lalu.
3) Kebenaran poligami bagi pihak lelaki adalah suatu ketetapan daripada Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Walau bagaimanapun, kebenaran itu adalah bersyarat iaitu lelaki tersebut mestilah mempunyai kemampuan dari sudut harta, mampu berlaku adil dan sebagainya. Seorang isteri boleh menolak suami yang ingin berpoligami sekiranya sebab penolakan itu adalah berdasarkan sebab-sebab syarie seperti suami tidak mampu berlaku adil, suami tidak mampu dari sudut kewangan dan juga tanggungjawab yang lain. Adapun menolak poligami atas dasar perasaan dan emosi semata-mata, maka ia tidak dibenarkan.
Sekian, terima kasih.