Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT . saya ingin bertanya beberapa kekeliruan tentang bolehkah kite menjadi kan rujukan dari ustaz² selebrity seperti ust wadi anuar , ust azhar idrus dalam hukum agama dan mendengar ceramah mereka??
Ade perselisihan beberapa pendapat mengatakan yg kita tidak boleh menjadi kan rujukan dengan ustaz selebriti ini kerana mereka bukan di bawah jabatan agama islam dan tidak mempunyai latar belakang yang jelas tentang kepakaran dalam hukum agama islam . Jadi adakah boleh kita mendengar dan menerima ceramah ustaz selebriti ini?
Adakah dalam islam mempunyai batasan menimba ilmu ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1. Tidak semestinya seseorang penceramah atau ustaz mahupun ustazah perlu berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri untuk diambil sebagai rujukan. Banyak ulama silam tidak memiliki "kelulusan rasmi", namun diakui kewibawaan ilmu dan ketokohan mereka.
Tidak dinafikan juga terdapat sebahagian individu yang mengakui dan menggelar diri sebagai ustaz mahupun ustazah akan tetapi keperibadian dan amalan dan watak tidak selari dengan apa yang diucapkan.
Oleh itu, disarankan agar para asatizah memiliki tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama demi menjaga ketulenan ilmu agama, mengekang penyebaran idelogi menyeleweng dari sudut akidah dalam kalangan masyarakat selain mengelakkan amalan-amalan bidaah dan khurafat dari disebarkan dalam kalangan masyarakat, menyatu dan mengharmonikan adab-adab khilaf dikalangan para guru, masyaikh dan masyarakat.
Menjadi satu keperluan juga mendapatkan ilmu dari guru-guru yang bertauliah ini agar dapat membezakan antara akhlak yang buruk seperti mencerca, memaki hamun terhadap mana-mana pihak, sudah barang tentu akan memberikan ketenangan kepada masyarakat tanpa perasaan yang tidak baik. Dengan tauliah ini juga, setidak-tidaknya dapat memberikan garis panduan dalam menyampaikan ilmu agar ia lebih tersusun dan menepati kehendak agama yang sebenar. Ini amat penting kepada penerima tauliah sebagai bekalan dan sebuah panduan yang amat berguna untuk mereka.
Al Imam al-Ghazali menyatakan bahawa betapa pentingnya memilih guru yang berkelayakan dalam menimba ilmu agama. Beliau menyebutkan antara ciri-ciri guru yang layak adalah:
a) Memiliki ilmu yang sahih berdasarkan sumber-sumber agama (Al-Quran, Sunnah, dan ijmak ulama).
b) Beramal dengan ilmunya.
c) Menyampaikan dakwah dan mengajar untuk tujuan yang murni dan bukan demi kepentingan duniawi.
Sekiranya ustaz atau ustazah selebriti memenuhi ciri-ciri tersebut maka tidak menjadi masalah untuk mendengar ceramah mereka. Namun, disarankan untuk sentiasa berhati-hati dan mengesahkan isi kandungan ilmu yang mereka sampaikan terutama sekiranya melibatkan isu hukum yang rumit.
Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu tanpa melihat kepada umur dan kekangan. Umat Islam juga dituntut agar sentiasa meneliti dan mengambil sikap tabayyun terhadap asas kepada ilmu yang dipelajari. Justeru, jalan selamat bagi penuntut ilmu adalah untuk tidak hanya bergantung kepada satu sosok atau individu dan disarankan untuk mempelbagaikan sumber ilmu bagi mendapatkan pandangan yang lebih luas dan mendalam.
Sekian, terima kasih.