BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan/Ustad/Ustazah yang bertugas

Saya merupakan tenaga pengajar yang bergerak secara bebas ( freelance) . Kadang kala saya memerlukan menyediakan tuntutan bayaran dimana saya memerlukan menghantar borang kedatangan peserta kursus sekiranya kursus saya dijalan kan secara online . Persoalan saya adalah:

1) Adakah berdosa saya menukar kedatangan peserta untuk hadir secara 8 jam berterusan kerana secara puratanya peserta tidak akan mengikutinya sepenuhnya. Misalannya sekiranya kursus tersebut sepatutnya penuh 8 jam , peserta kebanyakannya hadir sebanyak 6 jam sahaja dan saya terpaksa menukar kedatangan peserta tersebut menjadi penuh.

Tuntutan bayaran saya hanya akan dikira dengan peserta yang hadiri secara penuh. Sekiranya tidak , maka saya tidak boleh menuntut bayaran untuk peserta itu. Untuk ini , adakah saya dikira sebagai menipu atas tuntutan yang sepatutnya saya layak?

Saya kira tidak adil  untuk saya kerana saya telah mengajar dengan bersungguh namun ianya tidak berpihak kepada saya dan sekiranya saya tidak menukar kedatangan peserta tersebut, saya tidak dapat menuntut bayaran tersebut.

Sekiranya hasil pendapatan saya tidak sah atau haram , bagaimanakah cara saya membersihkan pendapatan saya tersebut. 

Sekian. Harap berikan maklumbalas kepada saya

Terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya tuntutan bayaran bergantung kepada kehadiran penuh peserta selama 8 jam, perbuatan menukar data untuk menampakkan seolah-olah peserta hadir penuh walaupun sebenarnya kehadiran mereka kurang dari waktu tersebut, maka perkara ini boleh dianggap sebagai satu bentuk ketidakjujuran atau penipuan.

Dari sudut usaha dan komitmen sebagai tenaga pengajar, anda tidak bersalah kerana telah menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh. Akan tetapi, sekiranya perjanjian awal telah menetapkan bayaran hanya untuk kehadiran penuh, maka perkara ini perlu dipatuhi sebagaimana akad yang telah dipersetujui. Sekiranya kehadiran peserta diubah untuk memenuhi syarat bayaran, ada kemungkinan ia boleh membawa kepada pendapatan haram kerana tuntutan tersebut tidak mencerminkan hakikat sebenar.

Disarankan untuk menjelaskan situasi ini kepada pihak penganjur kursus atau pihak yang menyediakan bayaran dan mencadangkan supaya kehadiran peserta diambil kira secara pro-rata iaitu berdasarkan jam kehadiran sebenar peserta serta mengusahakan rekod masa keluar-masuk peserta.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 70

message user image