BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

salam tuan,

saya ingin bertanya tentang taliq dibawah :-

Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya ................  selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Syariah dan apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya sepuluh ringgit, maka pada ketika itu tertalaq ia dengan cara talaq khulu'.

1) adakah jatuh talaq khulu tersebut jika isteri telah menfailkan penceraian ke mahkamah syariah?

2) jika masih dalam proses jawatankuasa pendamai adakah talaq tersebut akan jatuh?

3) borang permohonan isteri menfailkan cerai tidak menyatakan jenis cerai, adakah dikategori talaq ra'ji

4) jika setelah proses jawatankuasa pendamai, dan syiqa telah diputuskan berlaku dan mahkamah telah menasihatkan suami menjatuhkan talaq, apakah talaq tu talaq yang masih boleh di rujuk?

 

mohon pencerahan dari pihak yang arif tentang perkara ini. terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Talak khulu sepertimana yang termaktub dalam lafaz taklik itu akan jatuh bila isteri memfailkan perceraian taklik selepas akad nikah ini ke mahkamah dan pihak mahkamah akan membicarakan kes atau aduan tersebut dan apabila sabit atau sah aduan itu maka mahkamah boleh memerintahkan pasangan tertalak dengan cara tebus talak atau talak khulu iaitu apabila Mahkamah menerima RM10 daripada isteri bagi pihak suami. Talak tidak jatuh hanya semata-mata isteri memfailkan perceraian di Mahkamah.

2. Sekiranya sesuatu kes itu masih dalam proses Jawatankuasa Pendamai, talak taklik tersebut tidak jatuh.

3. Kalau peceraian yang difailkan tersebut bukan dalam kategori talak bain samada sughra atau kubra, maka ia adalah talak raj'ie.

4. Kalau di peringkat Jawatankuasa Pendamai, apabila suami mengikut nasihat Hakim untuk menjatuhkan talak maka talak tersebut adalah talak rajie iaitu talak yang masih boleh dirujuk. 

Walaubagaimana pun, adalah disyorkan agar tuan merujuk perkara ini kepada pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan ia memerlukan perjelasan yang panjang dan detil bagi maksud kefahaman yang jelas kepada pihak yang bertanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 132

message user image