Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan saya berkenaan seorang lelaki bermazhab hanafi, perempuan mazhab syafiee.. Lelaki itu bertanya pada seorang janda..'jika saya mahu mengahwini mu, sudikah kamu berkahwin dengan saya' dan janda itu menjawap 'ya'. Adakah ini ialah perjanjian atau sudah bertunangan?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib al-Sharbini mendefinisikan peminangan sebagai pertanyaan untuk melangsungkan pernikahan dari seorang lelaki kepada seorang perempuan. Ia merupakan satu tanda persetujuan oleh kedua-dua pihak dalam rangka membina rumah tangga. Jika lelaki dan perempuan telah bersetuju, maka hal tersebut menjadi suatu janji kesepakatan untuk menikah dan ia dikira telah bertunang.
Berdasarkan situasi yang dinyatakan, pertunangan tersebut sah berlaku dengan syarat sekiranya seorang perempuan itu berada dalam keadaan yang boleh dinikahi tanpa ada sebab yang menghalangnya seperti berada dalam milikan orang (mempunyai suami atau tunangan orang lain) atau berada dalam tempoh iddah talak raj’ie.