BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalam.

Isteri saya tidak mahu lagi pulang ke kampung halaman saya atau berhubung dengan mana2 ahli keluarga saya gara2 'mulut puaka' (berkata tidak manis walaupun dlm nada bergurau) hingga menyebabkan kesabarannya hilang sama sekali selepas 17 tahun bersabar. Masalahnya, belah keluarga saya tidak menyedari situasi ini kerana mereka menganggap semuanya gurauan.

Soalan saya ada dua:

1. Bolehkah isteri bertindak sedemikian rupa? Seolah2 ingin memutuskan hubungan untuk mengelakkan mudarat lebih teruk?

2. Apakah patut saya buat untuk membetulkan keadaan di dua2 belah pihak?

Mohon bantu saya Tuan. Saya sayangkan keduanya. Buntu saya. Nasihat secara perlahan telah saya sampaikan pada isteri tapi tak berkesan, lagi marah adalah sebab seolah-olah saya mempertahankan keluarga saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada permasalahan yang dikemukakan, 17 tahun adalah tempoh yang lama seorang isteri berhadapan dengan situasi tersebut. Sudah tentu sedikit sebanyak meninggalkan kesan psikologi kepadanya. Benarlah Islam amat menitik beratkan agar umatNya sentiasa menjaga lisan masing-masing dalam apa jua keadaan. Hikmah bagi mereka yang berkeluarga agar dapat memelihara kerukunan dan keharmonian dalam rumah tangga dan keluarga (ipar duai dan saudara-mara). Dengan lisanlah sesuatu ikatan boleh terjalin atau terlerai.     

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 58:

وَٱلَّذِینَ یُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ بِغَیۡرِ مَا ٱكۡتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُوا۟ بُهۡتَـٰنࣰا وَإِثۡمࣰا مُّبِینࣰا

Maksudnya : "Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata."

1. Isteri tidak boleh menolak permintaan suami untuk pulang ke kampungnya kerana ia bukanlah perkara yang patut ditolak dan sebagai tanda taat kepada suami, selagi mana ketaatan itu tidak menyalahi kehendak syarak. Barangkali isteri bukanlah mahu memutuskan hubungan, sebaliknya mengelakkan dari persekitaran yang negatif (mulut puaka). Berilah masa untuk isteri healing dirinya sendiri. Kesihatan mental dan emosi perlu stabil untuk menghadapi hari-hari mendatang. Isteri perlu diberikan sokongan dan bantuan oleh seseorang yang dia percaya iaitu suaminya sendiri. Jika pengalaman perkahwinannya sendiri memberi kesan yang buruk pada dirinya, bagaimana isteri mahu meneruskan untuk tahun-tahun seterusnya.

2. Demi meredakan situasi yang dialami, sebagai suami, saudara boleh mengutarakan perkara ini kepada ahli keluarga saudara, dan berbincang bersama-sama agar gurauan yang selama ini dianggap biasa bagi mereka, sebenarnya ada hati yang terguris mendengarnya. Mungkin itulah asbab isteri tidak mahu lagi pulang ke kampung halaman suami. Justeru, pihak-pihak yang terlibat bolehlah berterus terang dan saling memahami antara satu sama lain. Mudah-mudahan, perbincangan tersebut membuahkan natijah yang baik walaupun bukan keseluruhan tetapi saudara telah melangkah setapak kehadapan bagi memulihkan keadaan yang berlaku.   

Sekiranya tiada jalan penyelesaian, saudara boleh mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 95

message user image