Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bolehkah melakukan solat sunat tahyatul masjid bagi Surau Kebenaran Solat Jumaat.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dalam Bahagian 1 Tafsiran menyatakan bahawa masjid ertinya suatu bangunan -
a) yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan yang disuruh, disyorkan, atau dibenarkan oleh agama Islam; dan
b) yang penggunaannya sebagai yang sedemikian dibenarkan oleh Majlis di bawah seksyen 98,
dan termasuklah mana-mana surau, madrasah atau bangunan lain yang ditetapkan oleh Majlis sebagai masjid di bawah seksyen itu.
Sehubungan dengan itu, surau Jumaat tidak dikira sebagai masjid. Oleh itu, tidak sah iktikaf dan solat tahiyyatul masjid seseorang jika dilakukan di surau. Iktikaf dan solat tahiyyatul masjid hanya sunat dilakukan di tempat yang dikategorikan sebagai masjid. Walaupun begitu, tetap digalakkan untuk melakukan apa-apa sahaja solat sunat dan zikir-zikir di tempat selain daripada masjid seperti di surau atau surau Jumaat.
Sekian, terima kasih.