Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah tingkatan ghunnah bagi huruf yang bertajwid IZHAR MUTLAQ? Adakah mereka termasuk dalam TINGKATAN GHUNNAH NAQISHAH? Terima kasih
Jawapan
Secara asasnya hukum idgham terbahagi kepada dua bahagian iaitu idgham berdengung (إدغام بغنة) dan idgham tanpa dengung (إدغام بلا غنة). Bilangan huruf idgham ada enam yang mana keenam-enam huruf ini apabila ia terletak selepas nun mati atau tanwin hukumnya mesti diidghamkan kedua-duanya ke dalam huruf-huruf tadi. Idgham berdengung berlaku apabila nun mati atau tanwin bertemu dengan salah satu huruf (ي و م ن). Idgham berdengung juga dipanggil sebagai Idgham naqis (إدغام ناقصا).
Keadaannya berlaku apabila nun mati atau tanwin berada pada akhir kalimah pertama dan empat huruf ini berada di awal kalimah pada perkataan kedua yang terletak selepas nun mati atau tanwin.
Manakala jika terletak huruf idgham selepas nun mati dalam satu kalimah, ia dinamakan sebagai izhar mutlaq. Hukumnya mesti diizharkan iaitu dengan bacaan terang tanpa dengung. Ia termasuk tingkatan idgham naqis namun cara bacaannya adalah berbeza.
Sekian, terima kasih.