Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asssalamualaikum Tuan. Saya mahu bertanya, jika peralatan elektrik yang tidak boleh dibasuh dengan air terkena najis, bagaiman cara sebetulnya untuk disucikan seperti telefon bimbit dan sebagainya. Saya ada terbaca bahawa cukup disucikan dengan sapuan sahaja, tetapi saya keliru sapuan itu perlu dengan tisu basah atau cukup dengan sekadar tisu kering juga boleh? Mohon penjelasan terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan persoalan di atas, kaedah menyucikan najis ainiyyah dan hukmiyyah yang terkena pada tempat yang tidak boleh kena air adalah seperti berikut:
Kaedah ini dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk "Sekiranya najis terkena pada permukaan yang berkilat seperti pedang, pisau, cermin dan sebagainya. Yang mana permukaan tersebut tidak menjadi suci disebabkan sapuan semata-mata, dan ia juga tidak boleh dibasuh (alirkan air) maka ia menjadi suci dengan sapuan. Ini juga adalah pandangan Ahmad, Daud, Malik dan Abu Hanifah"
Sebagai tambahan yang menyokong penyataan ini, Imam Uthman bin Ali al Zayla'i al Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqaiq menyebutkan satu riwayat yang sohih bahawa sahabat Rasulullah SAW telah membunuh golongan kafir, lalu para sahabat menyapu pedangnya dan solat dengan membawanya bersama. Apabila basuhan boleh menyebabkan pedang tersebut rosak atau berkarat, maka ia dianggap sebagai keadaan darurat.
Kesimpulannya, tempat yang tidak boleh kena air seperti barang elektrik, telefon bimbit dan sebagainya boleh dianggap sebagai keadaan yang boleh mengecualikannya daripada basuhan biasa kerana basuhan air dapat merosakkan barangan tersebut. Oleh itu, cukup sekadar menyapu bahagian yang terkena najis sekadarnya. Penyelesaian bagi isu ini telah disebutkan oleh para ulama sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.
Sekian, terima kasih.