BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

 

Sebelum ini saya pernah bernazar untuk sedekahkan (dan hantar sendiri ke masjid-masjid) sejadah kepada masjid jika saya mendapat pekerjaan baharu. Sekarang saya sudah dapat kerja baharu dan saya wajib melaksanakan nazar tersebut. Tapi, saya ada beberapa soalan seperti berikut:

1. Saya sedar di masjid-majid telah banyak sejadah dan karpet. Jadi, bolehkah jika saya edarkan sejadah ke surau-surau atau tempat yang lebih memerlukan?

2. Saya lihat ada kaunter wakaf sejadah di tempat tinggal saya, bolehkah jika saya wakafkan sejadah melalui kaunter tersebut?

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah SWT) yang tidak tentukan olehnya secara asal dalam syariat. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalan surah al Hajj ayat ke 29 :

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Yang maksudnya: "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu".

Dan sebuah hadis daripada Aisyah Ranha bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.” (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan pertanyaan tuan, maka apabila yang dihajatkan tersebut telah tertunai maka tuan wajib untuk melakukan qurbah sebagai balasan kerana memperolehi nikmat atau hajat yang tuan inginkan itu. Wajib bagi tuan untuk sedekahkan sejadah kepada masjid setelah cukup rukun-rukun nazar dan ia hendaklah diberikan berdasarkan perkara yang ditetapkan. Justeru, tidak boleh diedarkan sejadah tersebut ke tempat lain selain masjid, kerana lafaz nazar tuan khusus untuk disedekahkan kepada masjid-masjid sahaja.

والله أعلم بالصواب 

Sekian terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 51

message user image