BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya ada beberapa soalan;

1. Apa hukum lelaki memakai anting-anting tetapi tidak tebuk lubang? Hanya memakai anting-anting magnet sahaja. Masih bolehkah menjadi wali?

2. Apa hukum lelaki tocang rambut? Braided.

3. Apa hukum lelaki memakai aksesori di rambut ? Contoh macam manik2 yang dipakai di rambut yang telah di braided kan. Contoh braided tu macam rambut orang afrika. 

 

https://my.shp.ee/YAv8LsN
contoh aksesori yang saya maksudkan.. 

 

terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1. Ulama berbeza pendapat mengenai hukum lelaki memakai anting-anting termasuk yang menggunakan magnet tanpa menebuk lubang pada telinga. Namun secara umumnya, terdapat larangan bagi lelaki memakai perhiasan yang merupakan kebiasaan wanita termasuklah pemakaian anting-anting. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ المُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بالنِّسَاءِ، والمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بالرِّجَالِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (Riwayat al-Bukhari)

Antara syarat menjadi wali adalah lelaki yang adil, antara ciri seorang wali yang adil adalah:

  • Menjaga solat fardu.
  • Tidak melakukan dosa besar secara terang-terangan.
  • Tidak terus-menerus melakukan dosa kecil.

Lawan kepada sifat adil adalah fasiq iaitu mereka yang melakukan dosa besar secara terang-terangan atau orang yang terus-menerus melakukan dosa kecil, perbuatan memakai anting-anting sebagaimana yang disebutkan di atas adalah perbuatan yang dilarang oleh syarak, melakukan perbuatan yang dilarang oleh syarak bermakna seseorang telah melakukan dosa. Kesannya seseorang itu boleh dikategorikan sebagai fasiq dan perlu istitabah atau bertaubat dari kefasikannya sebelum mewalikan pernikahan kerana nikah tidak sah jika berwalikan orang yang fasiq. 

2. Lelaki yang menjalin rambut menjadi tocang atau braided adalah harus dengan syarat tidak menyerupai gaya perempuan atau menggayakan seperti seorang perempuan, menyerupai agama atau budaya yang bertentangan dengan nilai Islam serta ia tidak dibuat dengan tujuan riya'. Begitu juga menghias rambut dengan aksesori seperti manik atau perhiasan yang kebiasaannya dipakai oleh wanita atau sesuatu perhiasan mahupun gaya yang boleh menyebabkan kekeliruan yang boleh mencetuskan fitnah, maka sebaiknya semua itu hendaklah dijauhkan.

Secara keseluruhan, setiap perkara yang boleh menyebabkan penyerupaan lelaki dengan wanita atau sebaliknya  dalam aspek perhiasan dan gaya hidup adalah perlu dielakkan bagi menjaga kesucian identiti serta fitrah lelaki dan wanita dalam Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 172

message user image