BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Saya dah berkahwin dan duduk dirumah bersama isteri dan ibu kandung saya dalam 1 rumah. 

Ayah saya telah meninggal dunia.

Sebagai seorang anak lelaki, saya bertanggungjawab untuk menjaga ibu saya yg memiliki penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis .

Tetapi isteri saya pula tidak bersetuju ibu tinggal bersama kami serumah.

Persoalannya: Apa hukum jika isteri berbuat demikian dan tidak mahu mendengar araham suami..

Tolong bantu saya, kami sering bergaduh sehingga isteri mahu meminta cerai..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, isteri wajib taat dan patuh kepada arahan suami selagi mana ketaatan itu pada perkara yang baik dan bukan maksiat. Tindakan isteri boleh dianggap ingkar arahan suami dan menyalahi seruan Nabi SAW. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. (Riwayat Ibnu Hibban)

Isteri sebaiknya mengambil peluang ini menyantuni mertua yang sakit dengan baik. Jika ada kesukaran, suami hendaklah menyediakan khidmat pembantu bagi mengurus ibu yang dalam jagaannya di rumah, tanpa menambahkan beratnya tanggungjawab isteri dalam mengurus rumah tangga seharian. Disamping itu, sebagai seorang suami, keberadaan ibu di rumah hendaklah tidak menyebabkan nafkah kepada isteri terabai kerana tanggungjawab nafkah kepada isteri merupakan kewajipan suami kerana mungkin terdapat faktor lain yang menyebabkan isteri tidak bersetuju untuk ibu tinggal bersama. Pujuklah isteri dengan baik dan jangan bergaduh-gaduh. Jika ibu/ bapa isteri pula menghadapi situasi yang sama, suami perlu berlapang dada menyantuninya dengan baik.

Jika perkara tersebut tidak menampakkan jalan penyelesaian, disarankan agar saudara mendapatkan khidmat nasihat kekeluargaan di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 101

message user image