BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, saya menghantar anak saya ke taska yang pelajar dan gurunya terdiri dari pelbagai bangsa. Jadi ketika musim perayaan agama lain seperti Deepavali, Halloween dan Christmas contohnya, taska akan mengadakan majlis sambutan sempena perayaan tersebut. Apakah hukum jika anak saya menyertai majlis sambutan tersebut yang akan mempunyai aktiviti seperti membuat kolam yang bercorak biasa (bukan gambar dewa), menyanyi lagu Jingle Bell dan sebagainya? Adakah anak saya dikira seperti merayakan perayaan tersebut dan berdosa jika kami sebagai ibu bapa membenarkan anak kami menyertai majlis sebegitu?

 

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain jika bertujuan untuk mengagungkan atau mengiktiraf hari perayaan mereka sama ada dengan ucapan atau tindakan seperti memakai pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut.. Walau bagaimanapun, ia dibenarkan sekiranya  tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan syarak. 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam dengan menetapkan beberapa kriteria iaitu:

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
  2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
  3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam"

Adapun mengenai aktiviti membuat kolam bercorak yang dikaitkan dengan sesuatu kepercayaan, hendaklah dipastikan ianya tidak melibatkan unsur dan kepercayaan agama lain, namun menyanyikan lagu yang mempunyai lirik berunsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak adalah diharamkan.

Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memantau dan mengingatkan anak-anak serta menasihati mereka agar tidak terlibat dengan perkara yang bertentangan dengan akidah Islam. Dinasihatkan pihak tuan/ puan untuk meneliti aktiviti-aktiviti yang dijalankan demi menjaga kesucian Islam atau mohon pengecualian anak-anak daripada terlibat dengan upacara seumpama itu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 105

message user image