Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Apa hukum menyertai pertandingan memancing. Sebelum pertandingan pihak penganjur kolam ikan mengumumkan pemenang pertama rm130000 utk ikan plg berat dan juga hadiah2 lain mengikut berat ikan serta hadiah kereta utk cabutan bertuah. Hadiah2 telah dipamerkan di khemah penganjur sebelum pertandingan. Setiap peserta membayar rm100 utk yuran penyertaan. Adakah pertandingan ini di kira berjudi? Saya tidak pasti adakah duit hadiah2 kemenangan itu dtg dr yuran penyertaan rm100 itu atau tidak. Mohon pencerahan.
Jawapan
Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 90:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Tanggungjawab memastikan sumber kewangan hadiah adalah sepenuhnya terletak pada pihak penganjur. Penganjur hendaklah sedar bahawa hukum menggunakan yuran peserta sebagai hadiah untuk pemenang adalah tidak dibenarkan dalam Islam, kerana ia mengandungi unsur pertaruhan yang melibatkan kerugian kepada peserta yang kalah, bergantung kepada nasib semata-mata. Sebagai alternatif, pihak penganjur disarankan mendapatkan penajaan bagi menyediakan hadiah kepada pemenang. Namun begitu, yuran peserta boleh digunakan untuk menampung kos yang telah dikeluarkan serta keperluan pentadbiran pertandingan, asalkan tidak wujud unsur perjudian atau pertaruhan dalam penggunaannya.
Perkara ini telah diperhalusi sebagaimana dalam Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2013.
Sekian, terima kasih